Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Projek geothermal pertama terbiar, hanya ditumbuhi rumpai - menteri
Diterbitkan:  Dec 6, 2018 1:51 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

PARLIMEN l Pojek loji janakuasa geothermal pertama negara di Sabah yang sepatutnya beroperasi pada 31 Dis tahun lepas, kini terbengkalai dan hanya ditumbuhi rumpai liar, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata berdasarkan lawatan ke tapak projek yang mula dilaksanakan pada 2 Julai 2015 itu, kerajaan mendapati tiada sebarang kemajuan projek ditunjukkan.

“Sebagai contoh, operasi penggerudian telah diberhentikan sejak suku ketiga 2016 dan ‘slim hole’ telah ditutup…semua kabin dan kelengkapan penggerudian tidak lagi berada di atas tapak, tiada lagi kakitangan ditempatkan di tapak projek dan rumpai panjang sudah tumbuh meliar,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang mahu kerajaan menyatakan status perkembangan pembinaan loji janakuasa berkenaan yang terletak di Apas Kiri, Tawau.

Projek berkenaan yang dibangunkan Tawau Green Energy Sdn Bhd seolah-olah telah memberhentikan segala operasi dan pengurusan, justeru pada 29 Ogos 2018 kerajaan melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) memutuskan untuk membatalkan kelulusan yang diberikan.

Yeo berkata kuota galakan penjanaan 37 megawatt dari projek berkenaan akan diagihkan semula kepada projek tenaga boleh diperbaharui lain yang berdaya maju khususnya biogas, biomas dan hidro.

Mengenai soalan tambahan Chan yang ingin tahu rancangan kerajaan untuk memastikan projek berkenaan diselamatkan memandangkan dakwanya sebanyak RM35 juta daripada geran Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah dibelanjakan, Yeo berkata kerajaan setakat ini masih ada rancangan untuk projek berkenaan.

“Ini kerana projek geothermal kadang kala lebih mahal daripada sumber tenaga baharu yang lain, tetapi kita akan teliti dari masa ke masa teknologi dan kewajaran projek ini.

“Apabila ia ‘make business sense’ (berdaya maju) kita akan teruskan pelaksanaan. Walau apa pun kita akan tawarkan semula ia dengan open tender (tender terbuka) ,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS