Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anjur kursus bahaya dadah untuk pasangan mahu berkahwin'

Kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah perlu bermula dari rumah dan harus difahami pasangan ibu bapa terlebih dahulu, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Sehubungan itu beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan menyediakan satu modul dan kursus khas untuk pasangan yang merancang mendirikan rumah tangga mengenai penyalahgunaan dadah.

Roslan berkata, program kursus kahwin sedia ada yang diwajibkan kepada pasangan yang mahu berkahwin tidak mencukupi dan perlu ditambah modul lain bagi mengekang gejala itu, terutama di kalangan pelajar sekolah.

“Kita cadangkan sebelum kahwin kena ikut modul baru, macam kursus kahwin, sebelum kahwin kena pergi kursus dua hari. Tapi dua hari tu tak cukup.

“Nak jadi guru, pegawai pun kena masuk universiti empat, lima tahun, ini nak jadi ibu bapa seumur hidup,” katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melahirkan kebimbangan susulan penglibatan murid sekolah rendah serta golongan wanita dengan dadah kini menjadi satu fenomena di Kelantan.

Malah, agensi itu juga berkata, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, semakin ramai penagih remaja membuat pengakuan kepada pihaknya bahawa mereka mula mengambil dadah ketika berada di bangku sekolah rendah iaitu seawal usia 10 tahun.

Untuk rekod melalui laman web AADK, bagi tahun 2017, jumlah penagih dadah di Kelantan terus meningkat sebanyak 3,700 iaitu kedua tertinggi selepas Pulau Pinang (3844).

Mengulas lanjut, Roslan berkata, antara inisiatif yang telah diambil kerajaan negeri untuk mengekang masalah itu dengan menganjurkan program bina insan, bina generasi solat dan keluarga mawaddah dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan AADK.

Katanya, program-program tersebut dikhususkan untuk orang awam dan diperluas ke Sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Mereka (kanak-kanak ini) kurang kesedaran, jadi nak bina minda mereka kena mula dari awal,” katanya.

Namun katanya, kerajaan negeri tidak dapat mendekati pelajar di sekolah kerajaan kerana pemerintah terdahulu tidak membenarkan agensi berkaitan pembangkang memasuki kawasan sekolah.

“Kita ni kerajaan pembangkang, tak boleh masuk agensi kerajaan pusat. Ni kali pertama selepas 27 tahun diberikan kuasa kepada kerajaan negeri.

“Ia salah satu punca, kita tak boleh ambil tanggungjawab itu sebelum ini, sebab tu banyak berlaku (kes dadah) di sekolah menengah.

“Kalau buat kajian di sekolah YIK, kes dadah kurang, boleh bezakan antara sekolah YIK dan sekolah kementerian dari segi gejala sosial tu,” katanya.

Lihat Komen
ADS