Paling Popular
Terkini

ULASAN | Malaysia tidak pernah bersatu sebagai Malaysia. Negara ini sejak merdeka terbelah tiga. Dibahagi ikut kaum-kaum.

Secara kasar – satu pertiga untuk Melayu, satu pertiga untuk Cina dan satu pertiga lagi untuk India. Perpaduan nasional yang wujud sejak merdeka masih palsu. Kaum-kaum tidak akan berjaya disatukan hanya oleh durian dan roti canai, atau perlawanan akhir Piala Thomas.

Bukti jelas Malaysia berbelah tiga ialah dengan wujudnya tiga jenis sekolah kebangsaan. Satu dengan apa yang dipanggil 'sekolah kebangsaan bagi menempatkan anak-anak Melayu-Bumiputera; kedua sekolah jenis kebangsaan Cina; dan ketiga sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Anak-anak kita dipisahkan sejak kecil. Sejak mula. Di situlah dalam dada mereka ditanamkan rasa prejudis, sebelum mereka boleh membaca dan mengira lagi.

Nama sekolah 'jenis kebangsaan' seolah-olah menjadi satu ketegasan tiga jenis ‘negara’ yang wujud dalam persekutuan yang satu, iaitu 'negara Melayu', 'negara Cina' dan 'negara India'. Kita sebenarnya tahu, atas alasan menjaga bahasa ibunda, Malaysia kekal bergelut untuk mempunyai satu identiti kebangsaan dalam pembentukan sebuah negara-bangsa yang merdeka.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub di dalam perlembagaan cuma mendapat status “termaktub”. Sering tidak dihormati.

Ada kala Perkara 152 itu diperlekeh sama ada dengan surat menteri, sidang media rasmi, surat ahli majlis sehinggalah papan tanda jalan. Perkara asas ini sengaja dicabar bagi membolehkan kontrak sosial yang lain diuji untuk memungkinkan turut dipecahkan. Begitulah tindakan subversif yang berlaku dari semasa ke semasa.

Keadaan mempersenda perlembagaan seperti yang terjadi sama dengan apa yang berlaku di Singapura. Di negara berkenaan, bahasa Melayu juga termaktub di dalam perlembagaannya sebagai bahasa kebangsaan. Namun Singapura boleh dikatakan lebih ‘jujur’ apabila turut memasukkan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai sebahagian daripada bahasa kebangsaan yang tiga.

Tujuan memasukkan ketiga-tiga bahasa tidak lain adalah bagi menunjukkan kesamarataan dan keadilan—walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa masyarakat asal di sana. Akhirnya bahasa kebangsaan Singapura bukan juga salah satu daripada yang tiga itu, melainkan apa yang disebut sebagai “Singlish”.

PAP lengkapkan kolonialisasi

Kalau Stamford Raffles yang dikatakan membuka Singapura sepertimana yang khabarnya diajarkan di sekolah mereka sekarang, lelaki Inggeris itu juga sanggup belajar bahasa Melayu dengan kawannya, Munshi Abdullah. 

Sepertimana sikap penjajah, mereka datang dengan tujuan menghapuskan keyakinan atau psikologi masyarakat pribumi agar masyarakat baru yang mahu dibentuk terpisah dari tradisi asal. Bagi mencapai maksud itu, sama ada di Afrika, India dan Asia Tenggara, caranya ialah dengan memperlekeh budaya serta bahasa masyarakat asal.

Tidak ada bukti dan tidak akan terbukti sampai bila-bila bahawa budaya dan kaum Melayu-bumiputera merupakan pendatang di Singapura. 

Inggeris, Belanda dan Sepanyol juga memisahkan anak-anak mereka dengan tidak diizinkan berada dalam satu sekolah bersama anak kaum pribumi. Pemisahan itulah yang terjadi antaranya Jawa pada zaman penjajahan, dengan kaum pribumi dianggap sebagai monyet atau bertaraf separuh haiwan oleh bangsawan Belanda—walau sebijak mana pun seseorang anak Jawa itu.

Kini masyarakat Melayu-Bumiputera Singapura ‘tertawan’—legasi Lee Kuan Yew bersama partinya, PAP telah melengkapkan tujuan kolonialisasi selepas penjajah pulang. Populasi Melayu-Bumiputera hanya tinggal sekitar lima ratus ribu berbanding kira-kira enam juta penduduk Singapura.

Jumlah warga asing yang diberi kerakyatan, dikatakan lebih ramai berbanding populasi kaum pribumi. Sekali lagi bagi menunjukkan komitmen serta keadilan kepada bangsa asal pulau berkenaan, maka diwujudkan muzium kebudayaan Melayu.

Tidak punya jati diri

Sementara di dunia realiti, Melayu-Bumiputera di Singapura sudah boleh diperhitungkan sebagai hampir tidak signifikan lagi. Mengangkat presiden berbangsa Melayu tidak memberi apa-apa makna, sama ada dari sudut kebudayaan mahupun politik.

Kerakyatan baru bukan sahaja dari Eropah, tetapi dari tanah besar China, India dan beberapa negara lain seperti Taiwan dan Filipina. Sepertimana kuli yang dibawa masuk oleh penjajah di abad ke-19, mereka tidak boleh berbahasa Melayu. Kini dasar penjajah yang seakan-akan diteruskan, walaupun Singapura sudah keluar dari Malaysia dan mencapai kemerdekaan sendiri sejak 1965.

Persoalan ini cuba saya ungkapkan sebagai contoh 'kehancuran identiti kebangsaan', yakni masalah teras bagi sesebuah negara-bangsa moden. Ia merupakan bukti betapa bangsa Singapura adalah bangsa (nation) yang tidak punya jati diri atau tradisi apa-apa pun lagi. Semuanya tempelan semata.

Apabila sesuatu bangsa tidak punya jati diri, maka bangsa berkenaan sebenarnya tidak punya keyakinan diri—dan bangsa yang tidak punya yakin diri tidak akan mengeluar apa-apa sama ada karya seni yang agung, pemikiran cemerlang mahupun barang teknologi yang canggih. Mereka sentiasa keliru, dan bangsa tersebut akan sukar mendapat penghormatan bangsa-bangsa lain di dunia.

Jepun, Perancis, Jerman, China, Rusia dan Korea Selatan merupakan antara contoh bangsa-bangsa yang mempunyai jati diri dan keyakinan sebagai satu bangsa. Lihat sahaja bagaimana bangsa Rusia tidak perlu bercakap bahasa asing untuk menghasilkan lukisan-lukisan hebat atau membuat pesawat tempur seumpama Shukoi.

Krisis identiti di Malaysia

Dan rakyat Malaysia tetap membeli kereta Honda, Toyota atau Mazda dari Jepun, meski orang Jepun tidak bercakap Inggeris. Bahkan ramai yang tergila-gilakan kereta Mercedes atau BMW dari Jerman yang mana bangsa itu kekal berbahasa Jerman. Begitu juga bangsa Korea Selatan tetap mengeluarkan jenama barangan eletronik yang laku keras seperti TV LG dan telefon pintar Samsung walaupun mereka berbahasa Hanguk.

Krisis identiti Malaysia wujud sejak merdeka—bahkan di situlah punca barah yang tidak terawat sampai sekarang. Selain setiap kaum dipecah-belah dalam sistem pendidikan yang tidak membantu pembentukan bangsa-negara, akar kepada penyakit ini tidak lain adalah berpunca daripada parti-parti perkauman yang mentadbir Malaysia buat sekian lama.

BN merupakan satu gabungan parti-parti perkauman di mana satu parti untuk Melayu, satu untuk Cina dan satu untuk India—sama seperti pemisahan yang dilakukan di sekolah rendah dengan tiga jenis kebangsaan yang wujud itu.

Sedangkan Amerika tidak menjadi Amerika kalau Parti Demokrat dikhaskan untuk orang kulit hitam, di samping Parti Republikan untuk kaum kulit putih sahaja. Meski isu perkauman tetap wujud di mana pun, termasuk di Amerika, namun tapak untuk api perkauman membara iaitu parti perkauman tidak dibiarkan menjadi asas politik bagi sesebuah negara yang mahu menjadi bangsa yang bermaruah.

Slogan '1Malaysia' sepertimana yang dilaungkan dalam era pentadbiran Najib Razak tetap tidak dapat merungkai persoalan asas untuk membina sebuah ‘rumah’ yang bernama Malaysia. Slogan itu bolehlah dianggap sebagai Panadol—hanya pil menahan sakit. Bukan menyembuhkan. Jauh sekali sebagai pencegah.

'PM negara India'

BN dengan tiga presiden parti-parti bagi kaum Melayu, Cina dan India telah membuatkan Malaysia seakan mempunyai tiga perdana menteri. Pertama PM bagi orang Melayu sebagai jawatan rasmi. Dua lagi ‘PM’ dari MCA dan MIC yang tidak rasmi bagi mewakili “negara Cina” dan “negara India” di Malaysia.

Sebab itu jugalah, pemimpin Hindraf yang kini menjadi menteri perpaduan, P Waytha Moorthy dikecam atas satu kenyataan beliau beberapa tahun lalu, yang berlagak seolah-olah beliau merupakan ‘PM negara India’ dalam Malaysia.

Gagasan Onn Jaafar yang mahu mewujudkan sebuah negara-bangsa yang bersatu padu, nampaknya terus gagal—disabotaj oleh bangsawan politik yang mahu mencipta nama dan mendapat jawatan dengan membelakangi kepentingan negara. Parti Negara, atau Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang ditubuhkan Ahmad Beostaman sebenarnya gagasan paling ideal dan terbaik bagi menyambut kelahiran masyarakat berbilang kaum selepas merdeka.

Pengkhianatan idea kebangsaan bukan sahaja dilakukan oleh Umno, MCA dan MIC yang bergabung di dalam BN, tetapi juga parti-parti perkauman lain yang sudah lama berakar seperti PAS, DAP mahupun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak.

Kritik DAP dianggap kritik Cina

Walaupun segelintir menyebutkan yang DAP, misalnya adalah parti berbilang kaum, namun 'Deklarasi Setapak 1967' jelas masih menjadi teras perjuangan parti berkenaan yang dideklarasikan setahun sebelum rusuhan kaum 13 Mei 1969. Peliknya selepas 21 tahun, dan selepas menjadi sebahagian daripada blok kerajaan PH, deklarasi tersebut dimuat naik semula di laman rasmi parti berkenaan baru-baru ini.

Sangat malang sekiranya semua pemimpin PH menjadi bisu kerana takut kehilangan undi Cina. Mengkritik DAP dianggap mengkritik kaum Cina.

Kefahaman itu adalah palsu! Masyarakat Cina, seperti juga masyarakat Melayu dan India, tentunya sudah rimas dengan politik perkauman yang memecah-belahkan Malaysia, yang menjadi teras kebanyakan parti sebelum ini. Rakyat semakin mahukan perpaduan, tetapi politikus masih mengamalkan politik pecah-perintah sepertimana di era Malaysia lama. Malaysia lama turut saya namakan sebagai 'Malaysia gelap'.

Perkara pokok inilah yang cuba saya sampaikan di dalam forum anjuran Telawi Forum di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada 22 November lalu. Forum berkenaan juga cuba membedah isu Icerd, dan Icerd hanyalah satu penyebab yang memungkinkan maraknya sentimen perkauman.

Selain Icerd, banyak perkara lain seperti isu kuil di Selangor minggu lalu yang bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan kaum, tapi sekali lagi boleh meretakkan kesatuan sebuah negara-bangsa. Dua bukti besar yang saya bawakan, iaitu parti politik berasaskan kaum dan sekolah tiga jenis kebangsaan adalah petanda bahawa pembentukan kebangsaan atau apa yang disebut sebagai 'Bangsa Malaysia', masih gagal. Masih jauh panggang dari api.

Sejak lebih 60 tahun lamanya, politikus dan parti politik hanya menjaga populariti demi kekal atau mendapat kuasa. Mungkin juga mereka sangat lemah dan tidak serius memikirkan soal membangun bangsa yang satu.

Tentu mereka akan mendapat kemasyhuran seperti yang diidamkan—tetapi kemasyhuran juga ada dua jenis. Satu, dengan nama yang baik dan harum; kedua, dengan nama buruk lagi busuk. Dalam maksud membina bangsa, politikus dan parti-parti yang wujud di Malaysia—seperti BN—akan dikenang dengan populariti jenis yang kedua. Mereka dalam sedar tidak sedar merupakan penyambung dasar dan tindak tanduk-penjajah.

Tidak ada ertinya kita mendakwa berada di era Malaysia baru kalau masih tidak jemu-jemu dengan gaya politik gelap dan bacul. Sesiapa pun yang tidak menghormati tujuan kelahiran bangsa Malaysia, tidak layak dipilih sebagai pemimpin.

Setiap yang lahir di Malaysia, wajib punya kesetiaan dan kasih kepada tanah bertuah ini. Itulah janji kemerdekaan. Kepura-puraan tidak boleh dibiarkan lagi dan patut dihumban ke laut dalam sejarah. Secepat-cepatnya.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS