Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Obit: Spesis pupus diabadi dalam Unesco Global Geopark Langkawi
Diterbitkan:  Dec 7, 2018 11:11 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) baru-baru ini memperkenalkan Obit sebagai maskot Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Langkawi (Langkawi UNESCO Global Geopark atau LUGG).

Obit mendapat namanya sempena Trilobit, sejenis spesis hidupan laut yang sudah pupus dan dianggarkan hidup di pulau ini kira-kira 550 juta tahun yang lalu.

Fosil Trilobit ini telah ditemui di Formasi Machinchang dan Formasi Setul yang terletak di Taman Geoforest Machincang Cambrian dan Taman Geoforest Kilim Karst di Langkawi.

Pengenalan Obit sebagai maskot ini merupakan satu lagi inisiatif dilaksanakan Bahagian Geopark LADA untuk meraikan Hari Langkawi UNESCO Global Geopark yang ke-11 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hangat di sini baru-baru ini.

Pengurus Bahagian Geopark LADA, Azmil Munif Mohd Bokhari berkata Obit akan berperanan menyemarakkan lagi kesedaran umum tentang status Langkawi sebagai sebuah geopark bertaraf global.

“Kesedaran ini penting, khususnya di kalangan komuniti tempatan dan pelancong, memandangkan hubungan di antara kehidupan, kepelbagaian geologi dan budaya merupakan sebahagian dari komponen penting sesebuah Geopark,” katanya.

Dalam sambutan itu, LADA turut mengedarkan sejumlah 800 penyedut minuman mudah terurai (biodegradable) di kalangan pelajar-pelajar sekolah untuk meningkatkan lagi amalan mesra alam di pulau ini selain menjadi langkah permulaan menjadikan sekolah-sekolah di sini bebas penyedut minuman plastik.

Selain itu, 11 jenis pokok-pokok tempatan (native trees) turut diedarkan kepada semua sekolah di Langkawi bagi menandakan 11 tahun Langkawi sebagai sebuah geopark, di samping mewujudkan ekosistem bersesuaian untuk rama-rama dan burung-burung tempatan.

Langkawi diisytiharkan sebagai sebuah geopark oleh Global Geopark Network (GGN) yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1 Jun 2007 dan status itu tertakluk kepada penilaian semula yang dilaksanakan setiap empat tahun, sekaligus meletakkannya sebagai geopark pertama di rantau Asia Tenggara.

Pulau pelancongan ini berjaya mengekalkan status ini untuk dua proses penilaian semula yang telah dijalankan pakar-pakar geologi dalam tahun 2011 dan 2015. Penilaian semula seterusnya akan diadakan tahun hadapan.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS