Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Kerjasama dengan Umno perlu nilai reaksi penyokong

PAS menyifatkan kerjasama dengan Umno khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang perlu diperhalusi pelbagai aspek termasuk reaksi penyokong kedua-dua parti.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dr Nik Zawawi Salleh ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama berkenaan, berkata jika persefahaman terjalin maka keadaan akan menjadi lebih baik lagi.

"Itu kita kena tunggu dan lihat, kalau situasi ini baik, persefahaman terjalin, ia pasti akan jadi lebih baik.

"Tetapi kita kena tengok perjalanannya, reaksi penyokong kedua-dua parti, kita mesti nilai semua. Dan dalam sudut hukum agama, minta kita bersatu itu adalah benda asas dalam agama," katanya ketika ditemui media selepas Ceramah Grand Finale Himpunan Bantah Icerd peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Ceramah itu turut menampilkan Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa; Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan beberapa pimpinan kedua-dua parti peringkat negeri.

Beri keuntungan

Sementara itu, Nik Zawawi yang juga anggota parlimen Pasir Puteh berkata, isu gabungan antara PAS dengan Umno itu belum lagi dibincangkan secara khusus namun begitu Majlis Syura Ulama PAS telah buat ketetapan.

"Mana-mana persefahaman dibuat PAS dengan mana-mana parti lain, yang memberi keuntungan kepada Islam, dan perjuangan Islam maka diizinkan mengikut nas-nas yang ada dalam al-Quran dan hadis.

"Majlis Syura Ulama tidak memberi apa-apa halangan kepada PAS dan kepimpinan untuk mengadakan hubungan dengan mana-mana parti yang ada dalam negara kita yang boleh memberi keuntungan kepada PAS," jelasnya.

Sementara itu Nik Zawawi turut ditanya jika hubungan kerjasama antara parti pembangkang selepas PRU14 lalu memberi keuntungan kepada PAS.

Bersetuju dengan kenyataan itu, beliau berkata jalinan hubungan tersebut dilihat sebagai satu keperluan pada masa ini.

"Ya, setakat hari ini sangat-sangat memberi keuntungan, kepada Islam, masyarakat Melayu dan dalam banyak aspek.

"Kebersamaan Umno dan PAS ini adalah dilihat sebagai satu keperluan yang ada sekarang.

"Kita mengadakan hubungan ini sudah lama sebenarnya sebelum PRU14 lagi yang menggambarkan kita sangat terbuka dengan mana-mana parti yang ada, asalkan matlamat dibawa ada persamaan, keputusan lebih khusus dalam perkara ini akan dibuat pada masa depan," katanya. 

Lihat Komen
ADS