Berita Malaysiakini

Moody's sahkan penarafan A3, kekalkan prospek stabil terhadap Malaysia

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Agensi penarafan antarabangsa, Moody’s Investors Service mengesahkan penarafan penerbit mata wang tempatan dan asing serta hutang tidak bercagar senior Kerajaan Malaysia pada A3 dengan prospek stabil.

Pengesahan penarafan itu turut menganggap bahawa kekukuhan fiskal Malaysia telah lemah manakala prospek stabil itu dapat mengimbangi kekangan kredit daripada kemampuan hutang rendah serta beban hutang tinggi berbanding kekuatan kredit sedia ada, termasuk pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan serta asas pembiayaan yang stabil serta luas dari segi hutang negara.

"Hutang kerajaan akan bertahan lebih lama manakala pilihan dasar fiskal kerajaan akan mengurangkan asas pendapatan serta fleksibiliti fiskal," kata Moody’s dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut agensi penarafan itu, susulan perubahan kerajaan pasca pilihan raya umum pada Mei 2018, kerajaan baharu telah memaparkan peralihan penting keutamaan dasar yang lebih cenderung kepada sokongan terhadap pendapatan lebih rendah selain meningkatkan ketelusan kewangan awam.

Aspek seperti pilihan fiskal kerajaan, terutama membabitkan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga akan memberi kesan negatif jangka panjang terhadap kutipan hasil, kata Moody’s.

Malah, ia juga percaya langkah-langkah yang dilaksanakan serta diumumkan (kerajaan) akan menjurus kepada penumpuan terhadap pendapatan berkaitan minyak dan kebergantungan ke atas hasil bukan cukai seperti dividen syarikat milik kerajaan yang hanya mengehadkan fleksibiliti fiskal bagi tahun-tahun mendatang.

Agensi penarafan itu bagaimanapun berpendapat, potensi pertumbuhan yang memberangsangkan walaupun berdepan kelembapan untuk beberapa tahun akan datang serta kedudukan pasaran modal domestik yang mendalam, berupaya untuk terus menyokong penarafan pada A3.

"Rangka kerja institusi yang kukuh, termasuk keberkesanan dasar monetari yang mantap juga menyokong profil kredit, walaupun Moody’s berpendapat kerajaan akan berdepan kekangan untuk menangani gejala rasuah yang berleluasa,” katanya.

Moody’s menyenaraikan Malaysia dalam kalangan kalangan negara paling pesat berkembang yang mendapat penarafan A iaitu selepas China (stabil A1), Ireland (A2 stabil) dan Malta (A3 positif) sejak lima tahun lepas dan pada purata pertumbuhan tahunan sebanyak 5.2 peratus.

“Kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan lebih perlahan sedikit iaitu di bawah 5.0 peratus mulai 2018 akibat penyusutan aliran dagangan serta pertumbuhan pelaburan yang lebih rendah.

“Bagaimanapun, pertumbuhan akan kekal kukuh berbanding purata median bagi negara yang mendapat penarafan A,” katanya.

Dalam tempoh jangka panjang, Moody’s percaya prospek ekonomi Malaysia disokong oleh prasarana yang maju, sumber semula jadi yang banyak dan sektor pembuatan dan perkhidmatan yang kompetitif di peringkat global.

Pertumbuhan kukuh dijangka menyumbang kepada peningkatan pendapatan daripada paras yang telahpun stabil, berada hanya sedikit di bawah paras US$30,000 dalam terma perkapita KDNK dan kesetaraan kuasa beli.

Pasaran modal Malaysia yang mantap juga menyediakan asas pembiayaan stabil pada kos sederhana dan hutang kerajaan hampir keseluruhannya (97.6 peratus) dibiayai dalam mata wang tempatan, melindungi lembaran imbangan daripada kenaikan mendadak dalam bebanan hutang ekoran penurunan nilai ringgit.

Moody’s berkata dua pertiga daripada keseluruhan hutang kerajaan dipegang oleh pelabur domestik yang besar dan berjangka panjang, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).

“Rangka kerja institusi Malaysia menunjukkan pengurusan dasar monetari yang kukuh dan tadbir urus mantap, disokong oleh birokrasi mahir.

“Rangka kerja undang-undang dan kawal selia menyokong pertumbuhan kukuh dan kestabilan makroekonomi. Inflasi stabil pada paras terendah menunjukkan dasar monetari yang efektif,” kata agensi penarafan itu.

Bagaimanapun, Moody’s berpendapat rasuah yang berleluasa telah menyebabkan kekangan kredit dan seterusnya menjejaskan keberkesanan kerajaan.

Bagi tempoh jangka sederhana, ia berkata, kemungkinan penambahbaikan akan meningkat dengan ketara sekiranya skop bagi konsolidasi fiskal meningkat, terutamanya menerusi langkah-langkah yang mengembangkan asas hasil yang kecil sekarang, dan kemajuan pantasnya akan menunjukkan penurunan bebanan hutang kerajaan dan peningkatan kemampuan hutang.

“Pengurangan risiko kelemahan luaran, seperti menerusi pembalikan kenaikan dalam liabiliti hutang luaran jangka pendek yang Inaakan mengurangkan sensitiviti Malaysia kepada aliran modal berasaskan keyakinan, juga akan menyokong peningkatan penarafan,” kata Moody’s.

Sebaliknya, agensi penarafan itu berkata, penarafan Malaysia mungkin akan diturunkan sekiranya negara ini menyemak semula prospeknya untuk konsolidasi fiskal dan menjangkakan peningkatan ketara dalam hutang kerajaan dalam beberapa tahun akan datang.

"Ini boleh mengakibatkan skop yang lebih terhad untuk mengurangkan perbelanjaan berbanding yang diandaikan dan/atau diumumkan serta kejutan ekonomi negatif yang berpanjangan yang menjejaskan hasil kerajaan.

"Sokongan kewangan yang lebih penting kepada perusahaan milik negara selama beberapa tahun juga akan melemahkan kekukuhan fiskal," katanya.

Moody's berkata, peningkatan ketegangan politik dan perbezaan pandangan di dalam kerajaan juga boleh menjejaskan keberkesanan dasar.

"Jika ia menjejaskan keupayaan kerajaan untuk mematuhi objektif konsolidasi fiskal dan/atau mengancam kestabilan aliran modal di Malaysia, ini juga boleh membawa kepada penurunan penarafan," katanya.

Menurutnya, ketegangan berpanjangan antara Amerika Syarikat dan China, akan melembapkan perdagangan global serta meningkatkan ketidakpastian mengenai persekitaran perdagangan yang boleh menjejaskan kekukuhan ekonomi Malaysiadi samping memberi tekanan ke atas penarafan negara.

Sementara itu, Moody's juga mengesahkan sijil amanah dolar AS yang dikeluarkan Malaysia Sovereign Sukuk Bhd dan hutang tidak bercagar senior yang diterbitkan Malaysia Sukuk Global Bhd, syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan, pada A3.

Ia berkata, tangungjawab pembayaran yang berkaitan dengan sijil-sijil ini adalah tanggungjawab langsung kerajaan.

"Pada pendapat kami, kewajipan pembayaran yang diwakili oleh sekuriti yang dikeluarkan oleh kedua-dua syarikat tujuan khas ini adalah sama rata dengan terbitan hutang senior, tidak bercagar kerajaan yang lain.

"Oleh itu, penarafan penerbitan sukuk mencerminkan penarafan penerbit kerajaan," kata Moody’s.

Ia juga mengesahkan penarafan mata wang tempatan pada hutang tidak bercagar senior yang diterbitkan Khazanah Nasional Bhd dan dijamin oleh kerajaan, pada A3.

-- Bernama

I