Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Setpol TPM: 'Surat tender katering' bukan sokongan

Pembantu kepada Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata surat yang ditulisnya berkaitan permohonan tender kontrak katering yang kini tular dalam talian bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Surat yang ditulis setiausaha politik timbalan perdana menteri, Romli Ishak itu ditujukan kepada Pejabat Menteri Pendidikan dan untuk perhatian setiausaha politik menterinya, Nizam Morad.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Romli mengesahkan beliau menulis surat itu tetapi menyatakan tidak ada kandungan dalam surat tersebut yang menunjukkan beliau mencadangkan individu berkenaan supaya diberikan kontrak.

"Kalau kamu baca surat itu, ada saya cakap saya sokong? Ada saya minta luluskan? Tiada kan?" Soalnya.

Pada permulaan perenggan, Ramli menyatakan tujuannya menulis surat itu untuk memajukan dokumen permohonan tender membekal makanan memasak ke asrama Sekolah Menengah Agama Tun Said, Kota Belud.

"Untuk makluman pihak tuan, syarikat ini adalah hak milik bumiputera sepenuhnya serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh di samping rekod prestasi syarikat yang baik.

"Justeru itu, tanpa berniat mencampuri urusan pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia, bersama-sama ini dimajukan permohonan tersebut untuk tindakan pihak tuan selanjutnya.

"Kerjasama dan perhatian pihak tuan dalam perkara ini adalah amat dihargai dan dihaului dengan ucapan terima kasih," kata surat itu.

Pembida gagal dapat tender

Romli memberitahu Malaysiakini suratnya tidak meminta kontrak diberikan kepada pembida tersebut ataupun menyatakan sokongannya dalam permohonan tender.

"Kecuali tulis di situ (surat) sila luluskan, itu salah. Atau tulis saya sokong penuh projek ini, sila ambil tindakan segera. Itu memang kamu salah guna kuasa.

"Surat itu tidak ada apa-apa nilai pun," katanya menjelaskan pembida berkenaan tidak berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan tender tersebut.

Romli berkata anggota parti sering meminta surat bagi disertakan bersama permohonan mereka bertujuan membuktikan keperibadian mereka dan ahli politik tidak boleh menolak permintaan sebegitu.

Beliau menjelaskan sering mengeluarkan surat seperti itu kepada ahli parti supaya dapat memberi mereka keselesaan dan keyakinan untuk membuat permohonan.

Walau bagaimanapun, Romly berkata dalam hal surat yang ditulisnya itu, beliau menulis bahawa salinan surat berkenaan dihantar kepada Raymond Ahuar, setiausaha politik kepada timbalan ketua menteri Sabah, Christina Liew.

"Raymond Ahuar itu ada orang tak suka," katanya.

Beliau berkata pihak yang menularkan suratnya dalam talian perlu membuat aduan kepada SPRM jika terdapat sebarang unsur salah laku.

"Kalau kamu rasa saya salah guna kuasa, kamu wajib lapor kepada SPRM.

"Daripada viral begitu baik kamu lapor," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS