Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertambahan kekayaan, aset perlu dipantau di bawah pengisytiharan aset
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 8:38 AM
Dikemaskini: 12:38 AM


Pertambahan kekayaan dan aset ahli politik, pasangan dan anak-anak mereka perlu dipantau di bawah akuan pengisytiharan aset, kata Ketua Pengarah Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan pihak berkuasa yang akan membuat pemantauan itu tetapi berkata adalah penting untuk memantau pertambahan pendapatan dan aset menteri, timbalan menteri dan anggota parlimen.

Ini penting kerana kita mesti tahu apa yang mereka peroleh dan apa yang mereka belanjakan serta memastikan perbelanjaan mereka adalah sepadan dengan pendapatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Anti Rasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Hamad Al Thani persembahan di sini hari ini.

Abu Kassim berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad komited dalam memerangi rasuah dan ini jelas terbukti apabila beliau memperakukan 21 dasar dalam tempoh hanya beberapa bulan selepas mengambil alih sebagtai perdana menteri.

Beliau berkata Dr Mahathir telah meluluskan Rancangan Anti Rasuah yang mengandungi 103 inisiatif, hanya untuk memerangi rasuah dan dijangka dilancarkan pada Januari tahun depan.

Sementara itu, Abu Kassim berkata beliau tidak terlibat sama sekali dalam mengubah Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysian Development Bhd (1MDB) walaupun beliau adalah ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu.

"Saya tidak tahu mengenai pindaan tersebut," katanya.

Pada 25 Nov, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan bahawa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan laporan akhir audit 1MDB dipinda dengan menggugurkan beberapa perenggan.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS