Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib terharu Pak Long berkayuh dari Perak ke KL
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 10:28 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak terharu dengan tindakan seorang warga emas yang mengambil inisiatif sendiri berbasikal dari Perak menuju ke Kuala Lumpur semata-mata mahu menyertai perhimpunan kesyukuran kerana kerajaan tidak mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) di Dataran Merdeka, hari ini.

Menerusi perkongsian di laman sosial Facebook Najib, anggota parlimen Pekan itu menyatakan rasa terharu dan mahu bersua muka dengan Afidzul Afidzul Ariffin, 52.

"Saya terharu melihat semangat saudara kita ini yang sanggup kayuh basikal dari Kampar untuk bersama-sama kami di Dataran Merdeka esok (hari ini).

"Semoga dipermudahkan perjalanan. Kita jumpa esok!," kata Najib.

Mula kayuhan jam 4 pagi

Afidzul menerusi catatan Facebook miliknya memberitahu, dia memulakan kayuhan dengan menunggang basikal tua kira-kira pukul 4 pagi, kelmarin.

“Jam menunjukkan pukul 4 pagi. Saya memulakan perjalanan menuju ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Ya Allah permudahkanlah perjalananku dan kuatkan semangatku hingga tiba ditempat yang dituju.

“Jauhkan aku dari malapetaka yang tak diingini dengan bantuan perlindunganMu Ya Allah. Demi agamaMu dan demi umat Nabi Muhammad SAW, aku memohon Kau lindungilah semua umat yang menuju destinasi sama demi mempertahankan agamaMu,” katanya dalam catatan Facebook miliknya yang dimuat naik, semalam.

Perkongsian Afidzul itu juga tular apabila ia turut sama dikongsikan ramai pihak yang terserempak dengannya di beberapa lokasi perhentiannya.

Afidzul yang lebih dikenali Pak Long turut meminta semua pihak agar turun bersama-sama petang ini di Dataran Merdeka.

"Minta, kalau boleh jangan ada alasan, turun. Kerana ini cara kita untuk pertahankan agama, bangsa dan negara. Demi agama, bangsa dan negara kita kena tentang mereka habis-habisan. (Tapi) Bukan tentang dengan cara kasar," katanya.

Selain itu, Pak Long turut memuat naik perkembangan setiap perjalanannya sehingga pernah ditahan oleh anggota polis di Bidor, Perak.

“Dalam perjalanan tadi saya kibarkan bendera tauhid. Terasa macam zaman Nabi Muhammad SAW pula. Setelah melepasi bandar Bidor tiba-tiba sebuah kereta peronda polis menghampiri dan menahan saya. Dia (anggota polis) ambil IC (kad pengenalan) saya, kemudian diberitahu bahawa bendera tersebut tak boleh dikibarkan.

“Saya tanya kenapa tak boleh? Dia kata seperti bendera ISIS. Saya cakap tak sama sebab tulisan berbeza dan ini bendera panji-panji tauhid Rasulullah SAW. Kemudian baru dia kata sebenarnya takut ada pihak menyalah anggap kerana warna hitam itu dan sekarang musim panas,” ujarnya.

Menerusi catatan terbaharu akaun Facebook warga emas itu, dia sudah berada di sekitar Dataran Merdeka dan mengucapkan syukur kerana berjaya sampai destinasi dengan selamat.

Lihat Komen
ADS