Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Putrajaya tidak akan menggubal undang-undang anti lompat parti kerana wakil rakyat bebas bertukar parti dalam demokrasi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Kami kerajaan demokratik.

"Kami percaya dengan demokrasi dan demokrasi 'membenarkan katak untuk melompat," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Ahli politik daripada parti pemerintah dan pembangkang telah lama menggesa untuk menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti selepas dipilih dan menjejaskan kestabilan politik.

Sejak pilihan raya umum lalu, beberapa wakil rakyat telah keluar parti, termasuklah para anggota parlimen Umno, Mustapa Mohamed, Anifah Aman, Mas Ermieyati Samsudin, dan Noor Azmi Ghazali.

Mustapa dan Noor Azmi telah menyertai Bersatu, yang dipengerusikan Mahathir.

Majlis makan malam kutip derma bukan rasuah

Dalam perkembangan lain, Mahathir yang juga pengerusi Bersatu turut menjangkakan kritikan terhadap majlis makan malam untuk mengutip dana yang akan diadakan malam esok dengan menjelaskan takrif rasuah.

"Menjadi kebiasaan bagi mana-mana pertubuhan menganjurkan majlis makan malam mengumpul derma untuk organisasinya.

"Kami terpaksa mengutip dana bagi tujuan pentadbiran parti tetapi kami mahu mematahkan keraguan bahawa ini bentuk rasuah," katanya.

Jumlah dana yang dapat dikumpulkan akan diisytiharkan, katanya, manakala nama pembeli meja tidak akan diumumkan.

"Jumlahnya tidak banyak tetapi kami perlu terlebih dahulu mengumumkannya jadi kami tidak akan dituduh menerima rasuah.

"Ia tidak memberi kesan terhadap keputusan yang kami buat," katanya.

Majlis makan malam itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya besok malam, dengan 177 meja untuk dijual yang dikelaskan sebagai berlian, emas, perak dan gangsa.

Meja emas berharga RM7,000 setiap satu, perak pada harga RM5,000 dan gangsa pada RM2,000 setiap satu. Namun meja berlian tidak diumumkan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS