BERITA Malaysiakini

Pertikaian ruang udara: S'pura perlu dedah semua dokumen, kata Loke

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementerian pengangkutan Singapura tidak mendedahkan semua dokumen berkaitan pertikaian penggunaan ruang udara Malaysia oleh lapangan terbang Seletar di negara itu.

Dokumen yang didedahkan adalah sebahagian minit mesyuarat antara Singapura dan Malaysia berhubung cadangan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi lapangan terbang Seletar pada 5 Disember 2017.

Dokumen itu termasuk surat bertarikh 6 Disember 2017 dan 6 Jun 2018 daripada Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) yang meminta maklum balas daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang menurut Singapura tidak dibalas.

Loke bagaimanapun berkata dokumen itu didedahkan secara terpilih dan menggesa kementerian pengangkutan negara itu turut menunjukkan komunikasi antara dua negara yang berlaku selepas itu.

"Pendedahan itu hanyalah sebahagian dan dibuat secara terpilih dengan tujuan utama untuk mempengaruhi pandangan awam.

"Maka kementerian pengangkutan Malaysia menggesa kementerian pengangkutan Singapura untuk turut menunjukkan surat CAAM kepada CAAS bertarikh 9 Oktober, 15 November, 21 November dan 28 November.

"Jika mereka gagal berbuat demikian, kami bersedia mendedahkan sepenuhnya surat-surat berkenaan maklumat itu agar orang awam dapat memahami pendirian kami," katanya yang juga setiausaha organisasi DAP.

Malaysia membantah tindakan Singapura mengemas kini protokol pendaratan baru di lapangan terbang Seletar - yang menggunakan ruang udara Malaysia - yang akan berkuatkuasa pada 3 Januari ini.

Loke berkata ia bertentangan dengan prinsip kedaulatan negara seperti dinyatakan oleh Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa.

Singapura bagaimanapun mendakwa Malaysia sebelum ini tidak membangkitkan bantahan berhubung perkara itu.