Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian p'raya tempatan diteruskan, kata menteri
Diterbitkan:  Dec 10, 2018 5:50 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneruskan kajian pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan sebagai salah satu opsyen untuk mempertingkatkan pendemokrasian dalam pentadbiran kerajaan, kata menterinya.

Menurut Zuraida Kamaruddin, kajian itu akan mengambil contoh pelaksanaannya negara lain, dengan mengikut acuan tempatan dan mengambil kira sentimen dan sensitiviti rakyat Malaysia.

“Adalah penting untuk kita terus meneroka kaedah baharu yang bersesuaian untuk dilaksanakan, di samping sentiasa peka dan mempertimbangkan kebaikan dan keburukan dari segala aspek, demi memastikan kelestarian rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata pilihan raya kerajaan tempatan tidak akan diadakan kerana ia boleh mengundang konflik antara kaum dan melebarkan jurang bandar dan luar bandar.

Zuraida sebelum ini menjangkakan pilihan raya kerajaan tempatan akan diadakan dalam tempoh tiga tahun, apabila ekonomi negara kembali stabil.

Kumpulan masyarakat sivil dan NGO sebelum ini menggesa pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan.

Dalam kenyataan hari ini, Zuraida juga berkata kementeriannya maklum akan kerisauan Mahathir Mohamad pilihan raya tempatan dilaksanakan dalam keadaan semasa.

Lihat Komen
ADS