Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Omar: Hormati wasiat Nik Aziz mengenai Maahad Darul Anuar
Diterbitkan:  Dec 11, 2018 11:41 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Rentetan kemelut yang melanda Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka, Kota Bharu, peninggalan bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, anak lelaki sulungnya Nik Omar menggesa semua pihak menghormati wasiat ayahnya.

Menjelaskan kedudukan sekolah itu katanya, asas sekolah tersebut ditubuhkan oleh datuknya Tok Ku Nik Mat Alim, pada 1963 selepas kepulangan Nik Aziz dari luar negara.

Katanya, Maahad Darul Anuar dibina atas sebidang tanah yang dihadiahkan ibu saudara Nik Aziz dan beliau mencadangkan status tanah ini ditukar daripada hadiah kepada waqaf.

"Ertinya, semua hak tanah berkaitan sekolah Darul Anuar berstatus waqaf. Justeru, jelas bahawa apa saja yang berkaitan Maahad Darul Anuar adalah diamanahkan kepada Nik Aziz secara peribadi dan tiada kaitan dengan keluarga.

"Oleh itu, tanah, bangunan sekolah dan masjid adalah dibawah pemegang amanah Tok Guru (Nik Aziz)," katanya dalam kenyataan media hari ini sebagai respon berhubung isu terkini mengenai pendaftaran pelajar baru oleh pihak tidak bertanggungjawab di Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka, semalam.

Pengurusan Keluarga Besar Nikmatilah

Terdahulu, isu Maahad Darul Anuar berlaku selepas Yayasan Islam Kelantan (YIK) meluluskan permohonan oleh Keluarga Besar Nikmatillah supaya menguruskan sekolah berkenaan bermula sesi pengajian 2019.

Bagaimanapun Nik Omar sebagai pengetua yang mendakwa mewarisi wasiat ayahnya tetap bertegas untuk mempertahankan Maahad Darul Anuar di bawah pengurusannya yang mengambil alih sejak 2008.

Sebagai rekod, perkara itu terjadi selepas Nik Omar muncul dalam kancah politik negara apabila menjadi calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Nik Omar berkata, pada Mei 2008, ayahnya menyerahkan mandat atau wasiat pemegang amanah Maahad Darul Anuar kepadanya selaku anak lelaki sulung.

Katanya, selepas penyerahan oleh Nik Aziz, Maahad Darul Anuar mewujudkan lembaga pengarah dipengerusikan olehnya dengan persetujuan Nik Aziz sendiri.

"Lembaga ini adalah badan tertinggi dalam menguruskan pentadbiran dan polisi Maahad Darul Anuar.

"Lembaga pengarah tidak pernah pada bila-bila masa berniat menyerahkan pentadbiran Maahad Darul Anuar kepada YIK.

"Sewajarnya semua pihak menghormati wasiat Almarhum Nik Aziz dan tidak secara sewenang-wenangnya cuba mengambil alih atau mengganggu Maahad Darul Anuar," jelasnya.

Justeru katanya, amat dikesali apabila ada pihak tidak bertanggungjawab (bertindak) menguruskan pendaftaran terbuka pelajar baharu di dalam kawasan Maahad Darul Anuar tanpa izin lembaga pengarah.

Ceroboh bertentangan syarak

Malah pihaknya beranggapan tindakan itu satu pencerobohan yang bertentangan dengan syarak dan moral.

"Sebagai pewaris wasiat, lembaga pengarah akan mempertahankan hak sebagai pemegang amanah ke atas Maahad Darul Anuar sebagai legasi pendidikan Nik Aziz.

"Lembaga pengarah komited untuk meneruskan amanah itu sebagai satu tanggungjawab dan akan kekal berpegang pada amanah dan motivasi Nik Aziz dalam mentadbir Maahad Darul Anuar," katanya.

Sehubungan itu tambah beliau, lembaga pengarah akan terus beroperasi dan mengendalikan pendaftaran pelajar baru bagi sesi 2019.

"Setakat ini, pihak lembaga pengarah berpandangan masih mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap Maahad Darul Anuar dan jika sekiranya terdapat mana-mana pihak yang berpandangan sebaliknya, pihak tersebut dinasihatkan untuk merujuk perkara ini kepada pihak berotoriti.

"Dan jika sekiranya masih tidak berpuashati dengan dapatan yang diperolehi, pihak tersebut dinasihatkan untuk merujuk perkara ini kepada pihak Mahkamah di dalam menentusahkan ketuanpunyaan atau pemilikan Maahad Darul Anuar ini," ujarnya. 

Lihat Komen
ADS