Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM19.9 bilion aset Tabung Haji dipindah ke syarikat tujuan khas

Lembaga Tabung Haji memutuskan untuk memindahkan asetnya berjumlah RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) bawah Kementerian Kewangan.

Aset tersebut termasuk ekuiti dan hartanah milik badan berkanun itu, kata Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai eksekutif Tabung Haji Zukri Samat.

Beliau berkata, aset seperti ekuiti dan hartanah yang kurang berdaya saing akan diuruskan SPV tersebut dalam tempoh tujuh tahun.

Antara aset itu adalah tanah seluas 0.63 hektar (1.56 ekar) di Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur yang dibeli daripada 1MDB.

"Kami membeli tanah itu dengan harga RM196 juta dan sehingga kini ia tidak memberi apa-apa pulangan," katanya dalam sidang media di Menara Tabung Haji di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata penentuan aset untuk diserahkan berdasarkan dua kriteria - bagi hartanah ia membabitkan aset yang memberi hasil kurang dua peratus, manakala untuk ekuiti jika nilainya merosot 20 peratus.

"Aset yang dipindahkan dikenal pasti melalui dua kriteria. Untuk hartanah ia membabitkan tanah yang memberikan hasil kurahg dua peratus. Untuk ekuiti pula ia bagi nilainya sudah terjejas 20 peratus," katanyan dlaam sidang media di ibu negara, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Tabung Haji mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion, dengan aset keseluruhan berjumlah RM70.3 bilion tetapi menanggung liabiliti RM74.7 bilion.

Makluman itu berdasarkan semakan Pricewaterhouse Coopers terhadap laporan kewangan pada 2017.

Zukri berkata beliau yakin pemindahan aset kepada SPV selama tujuh tahun mampu menjana pulangan kepada Tabung Haji.

Sebagai pertukaran, katanya, SPV akan mengeluarkan sukuk tujuh tahun bernilai RM10 bilion dan RM9.9 bilion dalam saham keutamaan boleh tebus Islam (RCPS-I).

"Selepas pemindahan itu selesai, Tabung Haji akan dapat seimbangkan akaun dengan aset sama banyak dengan liabiliti," katanya.

Dalam pada itu, Zukri memberi jaminan Tabung Haji mampu membayar hibah kepada pendepositnya tahun ini.

Beliau juga berkata yakin badan berkanun itu akan kembali di landasan yang betul dengan seliaan Bank Negara Malaysia bermula Januari depan.

Lihat Komen
ADS