Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TH: Najib beri amaran fenomena 'serbuan bank'
Diterbitkan:  Dec 11, 2018 5:05 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Najib Razak memberi amaran kemungkinan berlakunya fenomena 'serbuan bank' (bank run) atau pengeluaran wang beramai-ramai dari Tabung Haji (TH).

Bekas perdana menteri berkata, ketika ini nilai pelaburan TH telah jatuh banyak akibat penurunan berterusan Bursa Malaysia selepas pelabur-pelabur asing tidak berhenti menarik dana keluar selepas pilihan raya umum lalu.

Justeru, katanya, keyakinan terhadap TH tidak perlu ditambah lagi dengan “kejutan” kerajaan PH.

“Langkah ini telah menghakis kepercayaan pencarum-pencarum terhadap TH sehingga ada kemungkinan berlakunya bank run ataupun pengeluaran deposit secara beramai-ramai.

“Kalau ini berlaku, maka dana dan aliran tunai TH akan terus berkurangan sehingga kestabilan TH mungkin terjejas,” katanya.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof semalam berkata TH mengalami defisit RM4.1bilion, berdasarkan laporan kewangannya pada 2017.

Katanya, TH juga melanggar syarat pembayaran hibah sejak 2014, yang menetapkan pembayaran hanya boleh dibuat jika aset lebih daripada liabiliti dan jika terdapat keuntungan boleh diagihkan.

Semakan kedudukan kewangannya pada 2017 oleh syarikat audit bebas PriceWaterhouseCoopers (PWC) mendapati TH membayar hibah menggunakan simpanan pendeposit.

Bekas pengerusi Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Abdul Rahim bagaimanapun mempertahankan laporan juruaudit Ernst & Young (E&Y) yang dilantik pada era BN.

Laporan itu menunjukkan lebihan. Perbezaan antara kedua-dua laporan itu bagaimanapun dijelaskan melalui laporan PWC semalam.


Baca: TH: Mujahid kata defisit, Azeez kata lebihan? Ini sebabnya


Dalam kenyataan hari ini, Najib berkata kerajaan menjadikan TH sebagai bahan politik, langkah yang disifatkannya bukan bijak, malah berbahaya.

Menulis di Facebook, Najib berkata kerajaan patut meyakinkan pencarum-pencarum TH dan menghentikan kenyataan dan pengumuman yang negatif.

“TH ialah Tabung Haji dan bukan Tabung Harapan untuk kamu dijadikan bahan politik,” katanya.

Lihat Komen
ADS