Malaysiakini
BERITA

Muhyiddin: Status Taman Negara berbeza dengan tanah kesultanan

Geraldine Tong

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Dis 2018, 10:42 pagi

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kedudukan Pulau Kukup sebagai Taman Negara yang diwartakan tidak sama dengan klasifikasi sebagai tanah kesultanan.

Beliau berkata Enakmen Taman Negara Johor digubal ketika beliau menjadi menteri besar negeri itu antara 1986 hingga 1995, untuk melindungi semua taman negara di situ.

"Ada keputusan daripada pihak tertinggi yang mengatakan kita akan menjadikannya taman negara. Tetapi ada perbezaan dengan apa yang saya buat ketika itu dengan apa yang berlaku sekarang. Statusnya sedikit berbeza.

"Ia boleh kekal sebagai taman negara tanpa dibatalkan wartanya," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

"Tetapi untuk menukarnya kepada tanah kesultanan, statusnya sudah sedikit berubah.

"Walaupun mereka mengatakan akan melakukan segalanya agar ia kekal sebagai taman negara, pemilikannya telah berubah," katanya lagi.

Muhyiddin merayu agar Sultan Johor mengembalikan pewartaan Pulau Kukup sebagai Taman Negara.

Beliau berkata jika pewartaan Pulau Kukup dikembalikan, semua orang boleh memasukinya tanpa memerlukan kebenaran pihak tertentu.

Katanya, warta itu juga merupakan mekanisme yang lebih baik untuk mengekalkan pulau itu sebagai taman negara.

"Apa-apa pun, ini adalah pandangan peribadi saya dan sebagai orang Johor, saya bukanlah orang luar," katanya lagi.

Pulau Kukup yang terletak di Pontian adalah salah satu daripada sebilangan kecil lahan basah yang masih kekal asli di Asia Tenggara, dan satu daripada lima tapak Ramsar di Malaysia.

Tapak Ramsar adalah lahan basah yang mempunyai kepentingan antarabangsa berdasarkan Konvensyen mengenai Tanah Lembap yang Berkepentingan Antarabangsa PBB.

'Hilang perlindungan undang-undang'

Menurut laporan, kerajaan BN sebelum ini telah membatalkan pewartaan Pulau Kukup sebagai Taman Negara agar ia diklasifikasikan sebagai tanah kesultanan.

Ini bermakna pulau itu hilang status di sisi undang-undang sebagai taman negara dan statusnya bergantung kepada Sultan Johor - pemilik kepada tanah kesultanan.

Sebelum ini Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata kabinet memutuskan pulau itu perlu kekal sebagai taman negara.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudian membidas Xavier, mengatakan 'orang luar' tidak perlu masuk campur dalam hal negeri itu.

Dalam sidang media hari ini, Muhyiddin juga menjelaskan beliau mewujudkan Enakmen Taman Negar Johor untuk memastikan taman seumpama itu dijaga bawah Johor Land Corporation.

"Jadi apabila saya dengar wartanya dibatalkan, saya berasa marah, untuk apa saja sebab (nyahwarta itu)," katanya lagi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.