Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata tidak adil untuk masyarakat menyalahkan dirinya semata-mata sebagai punca perpecahan umat Islam selepas beliau membuat ucapan dikenali sebagai 'Amanat Haji Hadi' lebih 37 tahun lalu.

Kata Abdul Hadi perpecahan umat Islam di negara ini sudah berlaku sejak era 1960-an lagi, iaitu beberapa dekad sebelum beliau menyampaikan ucapan tersebut.

“Amanat itu dikaitkan dengan kafir-mengkafir (tapi) ia sudah berlaku pada tahun 60-an, selepas kemerdekaan, apabila berlaku ketegangan dalam masyarakat Melayu (Islam).

“(Ketika itu) ada yang mahu laksanakan Islam, ada pula yang jahil dan menghina hukum Islam, jadi berlaku pertembungan.

"Tetapi dalam Islam, kita tak boleh mengkafirkan orang Islam yang jahil,” katanya semasa menjadi tetamu program Bicara Minda anjuran Karangkraf di Shah Alam hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi ditanya moderator Johan Jaaffar yang membangkitkan tentang Amanat Haji Hadi yang dikatakan telah menyebabkan perpecahan terutama di Pantai Timur.

Ketika itu dilaporkan berlaku pertentangan faham sehingga menimbulkan amalan seperti sembahyang dua imam dan kes perceraian dan pemulauan kenduri-kendara.

PAS mahu redakan

Amanah Haji Hadi adalah petikan ucapan Abdul Hadi semasa berceramah di Kampung Banggol, Peradong, Terengganu, pada 1981.

Petikan 'amanat' tersebut antara lain menyebut:

"Kita menentang Umno bukan kerana namanya. Kita menentang BN bukan kerana ia lama memerintah kerajaan. Kita menentang kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah.”

Untuk rekod pada perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) di Kuala Lumpur 8 Dis lalu pula, pemimpin PAS, Umno dan pertubuhan bukan kerajaan bertegas mahu perlembagaan negara dipertahankan.

Kata Abdul Hadi petikan yang dipertikaikan itu cuma dua minit sedangkan ucapannya berlangsung lebih sejam

Mengulas lanjut, anggota parlimen Marang itu menjelaskan isu kafir-mengkafir itu bukan saja timbul di Malaysia, malah di seluruh dunia Islam termasuk Arab Saudi dan Indonesia.

Di Malaysia, katanya, keadaan itu reda seketika apabila PAS menyertai kerajaan campuran pada 1972 dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengeluarkan kitab Mustika Hadis jilid pertama bagi menerangkan batas hikmat dan kufur.

Namun, keadaan kembali tegang semula apabila PAS keluar daripada BN pada 1979.

Bagaimanapun kata Abdul Hadi, PAS berusaha bagi meredakan perpecahan yang memuncak itu dengan mencadangkan muzakarah dengan Umno.

“Saya telah menulis buku Amanat Haji Hadi untuk disebar kepada umum. Pada 1984, (PAS) mencadangkan muzakarah diadakan malangnya Umno tidak setuju. Mereka mahu anjurkan debat.

“Apabila kita sanggup (untuk berdebat), sampai masanya Majlis Raja-raja pula membatalkannya.

“Jadi isu ini (kafir-mengkafir) bukan isu saya yang mengatakan, ia berlaku sejak 1960-an dlu. Tetapi akhirnya kita dapati (keadaan menjadi) reda,” jelas Abdul Hadi lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS