Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor: Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 9:08 PM
Dikemaskini: 2:14 PM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini memberi jaminan status Pulau Kukup akan kekal sebagai Taman Negara Johor meskipun dimasukkan ke Jadual ke II Enakmen Tanah Kesultanan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah Perbadanan Taman Negara Johor akan diamanahkan untuk memelihara kawasan tersebut.

"Kerajaan negeri Johor telah bertindak berdasarkan niat murni Sultan Johor untuk menjaga kedaulatan negeri dan bagi memastikan Pulau Kukup terus dipelihara sebagai khazanah alam semulajadi dan kekal menjadi kawasan taman negara Johor untuk faedah oleh semua rakyat Johor khususnya dan keseluruhan rakyat Malaysia secara amnya.

"Kerajaan negeri Johor kesal apabila ada pihak menjadikan sebagai satu isu politik dengan menyebarkan andaian negatif yang Pulau Kukup ini akan dibangunkan pada masa akan datang.

"Oleh yang demikian, bagi memastikan kedaulatan tanah yang strategik ini dilindungi, maka kerajaan negeri Johor bersetuju memasukkan keseluruhan kawasan Pulau Kukup ke Jadual II Enakmen Tanah Kesultanan 1934," titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah, bagi memastikan status Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor, keseluruhan Pulau Kukup diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989.

Dengan pewartaan itu, titah baginda, Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor akan terus kekal dan Perbadanan Taman Negara Johor akan bertanggungjawab dalam memelihara keasilan dan kawasan semula jadi kawasan tersebut.

"Semua pihak yang mengaku mendukung keluhuran perlembagaan, haruslah menghormati kuasa-kuasa negeri yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor," titah baginda.

Dalam posting tersebut, baginda turut melampirkan gambar pertemuan dengan Menteri Besar Johor Osman Sapian dan setiausaha kerajaan negeri Azmi Rohani, awal hari ini.

Kerajaan Johor pada 4 Dis lalu mengumumkan status Pulau Kukup sebagai taman negara dibatalkan. Susulan itu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan usul tergempar mendesak kerajaan negeri mengkaji semula keputusan berkenaan.

Pada 8 Disember, Menteri Air Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata jemaah menteri berpandangan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara perlu dikekalkan, dan penukaran statusnya boleh memberi kesan kepada pengiktirafan paya bakau itu sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kemudian mengingatkan Xavier agar tidak masuk campur dalam isu tersebut. 

Mengulas kenyataan itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan bukan “orang luar”.

Bagaimanapun Tunku Ismail membandingkan kenyataan Mahathir itu dengan kenyataannya berkaitan isu tanah Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 29 november lalu yang mengatakan kerajaan pusat tidak campur tangan terhadap isu tanah di bawah kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS