Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

EKSKLUSIF l Umno kini berdepan krisis besar. Bilangan kerusi parlimennya kian berkurangan sejak PRU ke-14 dan usaha perbincangan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak berpihak kepada parti itu.

Ini kerana Mahathir mahu Umno dibubarkan sebelum menimbang soal kerjasama dengan pemimpin tertinggi parti itu. Anggota Umno bimbang parti mereka akan dibatalkan pendaftarannya.

Keadaan suram ini membuatkan seorang pemimpinnya, Nazri Abdul Aziz, pergi kepada bakal perdana menteri Anwar Ibrahim.

Anggota Padang Rengas itu memperincikan perbincangan dengan Anwar yang didakwa berlaku itu, ketika mesyuarat dengan anggota Umno Selangor semalam. Malaysiakini mendapat rakaman ucapannya.

Ketika dihubungi, Nazri mengesahkan rakaman itu.

"Ini bukan benda baru, ia rahsia umum bahawa kebanyakan (anggota parlimen Umno) mahu jadi sebahagian dalam kerajaan...Tiada apa-apa (yang berunsur) jahat," katanya kepada Malaysiakini.

Empat permintaan Nazri

Dalam mesyuarat dengan Umno Selangor semalam, Nazri yang juga setiausaha agung BN berkata beliau telah bertemu Anwar ketika minggu kedua sidang parlimen yang lalu.

Menurutnya, beliau meminta empat perkara dan Anwar menyatakan persetujuannya. Antaranya adalah agar Umno tidak dibubarkan.

"Anwar kata, 'Nazri, saya tak akan bubar Umno. Kita kena sporting dalam politik, macam mana nak lawan kalau seteru dibubarkan? Kita perlu gentleman'," dakwanya.

Permintaan kedua agar Anwar tidak menganiaya (harass) bekas perdana menteri Najib Razak apabila beliau menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

"Saya beritahu dia (Anwar), apa sekalipun kesalahan (Najib), dakwalah. Tapi jangan harass dia, jangan aibkan dan menyusahkan...dengan kenakan ikat jamin banyak kali.

"Anwar kata, 'saya sudah lalui perkara ini (dakwaan di mahkamah dan hukuman penjara) dua puluh tahun.

"'Saya tak mahu seteru saya lalui perkara sama, apatah lagi kawan saya. Najib dulu timbalan saya (dalam Pemuda Umno), Zahid dulu 'macai' saya'," dakwa Nazri lagi.

Najib kini berdepan sejumlah dakwaan berkenaan skandal 1MDB dan SRC International. Zahid pula dihadapkan dengan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Permintaan ketiga Nazri adalah agar Anwar mengembalikan semula sistem ketua kampung.

Permintaan keempatnya agar anggota parlimen Umno menerima peruntukan yang sama dengan anggota parlimen kerajaan agar mereka boleh "memberinya kepada rakyat".

Balas dengan sokongan

Sebagai pertukaran untuk empat permintaan itu, Nazri berkata anggota parlimen umno akan menyokong Anwar apabila beliau menjadi perdana menteri dalam masa "satu setengah tahun" lagi.

Bagaimanapun Nazri menegaskan wakil rakyat Umno hanya akan menjadi mesra-kerajaan, bukan sebahagian dalam pentadbiran.

"Kita tak mahu berada dalam kabinet. Susah untuk kita apabila pilihan raya umum nanti.

"Kita nak bertanding di kerusi Bersatu (Amanah dan Warisan), kita nak ambil balik kerusi kita, jadi kita kena lawan. Jadi kita tak boleh jadi menteri (dalam pentadbiran PH).

"Kita hanya jadi blok yang menyokong semua dasar kerajaan yang menguntungkan rakyat," katanya lagi.

Sementara itu, Nazri mendakwa Anwar juga memberitahunya dengan PKR, DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau memiliki 110 kerusi di Parlimen.

"Jadi dia beritahu saya, 'saya hanya perlu dua lagi. Jika campur anda (Nazri) dan anda cari seorang lagi, jumlahnya 112, dan saya perdana menteri'," dakwa Nazri.

Menurutnya, Anwar membayangkan beliau tidak memerlukan Amanah, Bersatu atau Warisan untuk membentuk kerajaan.

Kata Nazri lagi, Anwar juga memberitahunya yang beliau akan mematuhi persetujuan PH bahawa beliau hanya menggantikan Mahathir selepas dua tahun.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Anwar bagi meminta respons berhubung dakwaan Nazri.

Dalam penjelasannya kepada Malaysiakini, Nazri berkata ucapannya hanya untuk memberi penerangan kepada akar umbi Umno tentang isu semasa dan rancangan parti itu di masa depan.

Beliau berkata tidak pelik untuknya berbincang dengan Anwar selaku bakal perdana menteri, memandangkan syarat yang ditetapkan Mahathir "terlalu ketat".

"Jadi apa yang kita perlu buat sekarang adalah menunggu (Anwar menjadi perdana menteri)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS