Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Zahid mengaku tidak bersalah tuduhan pecah amanah

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan tambahan iaitu pecah amanah wang berjumlah RM10 juta milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu.

Zahid, 65, yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan baharu itu dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Pertuduhan tambahan itu menjadikan pertuduhan yang dihadapi Zahid kini berjumlah 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan tambahan itu, Zahid didakwa sebagai seorang ejen iaitu Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi yang telah diamanahkan dengan harta iaitu wang sejumlah RM10 juta milik Yayasan Akalbudi, telah melakukan pecah amanah wang itu dengan memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, No. 133, Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, pada 8 Dis 2015 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan tidak bercadang untuk menambah wang jaminan dan bersedia mengguna pakai jaminan terdahulu yang dikenakan terhadap Zahid pada 19 Okt lepas.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid tidak mengemukakan sebarang bantahan dan mahkamah mengekalkan jumlah jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin.

Terdahulu, pihak pendakwaan telah meminda 10 pertuduhan pecah amanah yang dihadapi Zahid dengan memperincikan butiran setiap pertuduhan dan memasukkan tujuan wang pecah amanah itu digunakan.

Pertuduhan tersebut kemudian dibacakan semula dan Zahid yang memakai kemeja batik lengan panjang mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama sehingga ke-10, Zahid didakwa sebagai seorang ejen iaitu Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi yang telah diamanahkan dengan harta iaitu wang berjumlah RM20,833,733.69 milik Yayasan Akalbudi telah melakukan pecah amanah ke atas wang itu.

Zahid didakwa telah membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, pembayaran polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman, pembayaran kepada syarikat konsultan dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di bank sama antara 13 Jan 2014 dan 11 Jan 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun tiada sebarang pindaan dibuat terhadap lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Zahid pada 19 Okt lepas.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid didakwa secara rasuah menerima suapan daripada tiga syarikat berbeza iaitu Syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Syarikat Data Sonic Group Berhad dan Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan untuk dirinya seorang Pegawai Badan Awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu Syarikat Mastoro, Syarikat Data Sonic dan Syarikat Profound mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian KDN.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a) (b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zahid juga berhadapan 27 pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram antara 2016 sehingga 2018 mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA).

Ia membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 20 Feb 2019 untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Raja Rozela turut memaklumkan bahawa 99 peratus dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan dan bakinya akan diserahkan secepat mungkin.

Peguam Hisyam mengesahkan telah menerima dokumen itu serta memberitahu pihaknya perlu meneliti dokumen tersebut sebelum membuat permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS