Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Urutan peristiwa pertikaian had pelabuhan Johor Bahru antara M'sia-S'pura

Sebagai dua negara berjiran, Malaysia dan Singapura berkongsi sempadan maritim dan wilayah, tetapi tidak semua pertikaian sempadan berjaya diselesaikan.

Hubungan dua hala Malaysia dan Singapura menjadi keruh berhubung isu sempadan maritim dengan isu berkaitan had pelabuhan Johor Bahru muncul kembali pada 4 Disember lalu, selepas republik itu mendakwa langkah melebarkan lagi had berkenaan sudah melangkaui kawasan perairan Tuas di wilayah Singapura.

Kenyataan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook pada 5 Dis menyebut tuntutan itu tidak tepat kerana peluasan had pelabuhan itu tidak sekali-kali mencerobohi ke mana-mana bahagian Singapura.

Singapura pada beberapa tahun lepas menambak tanah secara besar-besaran di kawasan berkenaan yang dipersoal dan ia undang-undang lapuk bahawa proses itu tidak melepasi garis asas negeri dan/atau garis tapak.

Beliau berkata mengikut undang-undang antarabangsa, sempadan laut Singapura kekal tidak berubah meskipun kerja-kerja menambak tanah yang dijalankan itu hampir melepasi had luar sempadan laut Singapura.

Menurut rekod Bernama, pertikaian itu telah bermula pada 2002, apabila Singapura melaksanakan kerja-kerja menambak tanah di kawasan yang bersempadan dengan sempadan maritim kedua-dua negara.

Berikut adalah urutan peristiwa di kawasan berkenaan:

* Januari 2002 - Malaysia menghantar nota bantahan kepada Singapura mengenai kerja-kerja penambakan di kawasan sempadan maritim antara Johor dan Singapura. Menteri Luar Datuk Seri (kini Tan Sri) Syed Hamid Albar berkata bantahan dihantar selepas Malaysia mendapati penambakan yang dijalankan itu, Singapura sudah memasuki wilayah Malaysia dan disahkan oleh agensi kerajaan Malaysia.

* 17 Mac 2002 - Kerja-kerja penambakan laut yang dijalankan Singapura sudah memberi kesan buruk kepada Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor, kata Lembaga Pelabuhan Johor.

* 27 Mac 2002 - Singapura menyatakan ia akan terus menjalankan kerja-kerja penambakan laut walaupun menerima rungutan dari Malaysia bahawa aktiviti dijalankan di Selat Johor yang sempit dan memisahkan kedua-dua negara itu akan menjejaskan laluan perkapalan dan alam sekitar.

* 29 Mac 2002 - Perdana Menteri Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad mengkritik Singapura kerana enggan bekerjasama dengan Malaysia dalam menyelesaikan isu penambakan tanah di Selat Johor.

* 5 April 2002 - Menteri Pembangunan Negara Mah Bow Tan berkata ia tidak nampak sebarang sebab kenapa perlu berunding dengan negara jiran Malaysia sebelum menjalankan kerja-kerja penambakan tanah dalam kawasannya. Beliau berkata penambakan itu tidak menjejaskan sempadan kawasan di selat berkenaan yang telah disahkan kedua-dua negara pada 1995 dan perjanjian itu tidak boleh diubah oleh satu pihak sahaja.

* 4 Julai 2003 - Malaysia merujuk isu itu kepada Tribunal Antarabangsa Mengenai Undang-Undang Laut (ITLOS) untuk meminta langkah-langkah sementara, sementara menunggu penubuhan tribunal timbang tara.

* 9 Okt 2003 - Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berpuas hati dengan keputusan ITLOS yang memerintahkan Singapura untuk tidak melaksanakan penambakan laut sehingga menyebabkan kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan terhadap hak Malaysia. Presiden tribunal Hakim Dolliver Nelson, turut memerintahkan kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam menubuhkan kumpulan pakar bebas untuk memantau kerja-kerja penambakan itu.

* 8 Nov 2004 - Kumpulan Pakar (GOE) yang diwujudkan oleh Malaysia dan Singapura untuk mengkaji kesan kerja penambakan laut oleh Singapura di dan sekitar Selat Johor telah menyerahkan laporan akhirnya kepada kedua-dua kerajaan. Wisma Putra berkata dalam satu kenyataan yang dipersetujui kedua-dua kerajaan bahawa laporan dan cadangan akan dikaji oleh Malaysia dan Singapura.

* 26 April 2005 - Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian bagi menamatkan pertikaian membabitkan aktiviti penambakan di dalam dan sekitar Selat Johor. Singapura bersetuju, antara lain menyemak semula reka bentuk akhir penambakan di Pulau Tekong, membayar kos perlindungan penuh di Jeti Tanjung Belungkor dan membayar pampasan kepada nelayan Malaysia. Malaysia pula akan bertanggungjawab ke atas semua kos kerja-kerja perlindungan di jeti Pularek.

Peristiwa terkini:-

* 25 Okt 2018 - Malaysia terbitkan Warta P.U. (B) 587 Kerajaan Persekutuan mengenai Pengisytiharan Perubahan Had Pelabuhan untuk Pelabuhan Johor Bahru.

* 5 Nov 2018 - Singapura hantar Nota Diplomatik bantah peluasan had pelabuhan Johor Bahru.

* 4 Dis, 2018 - Kementerian Pengangkutan Singapura menyuarakan "kebimbangan" berhubung rancangan Malaysia baru-baru ini berhubung perluasan had pelabuhan di Johor Bahru yang dikatakan telah menceroboh perairan wilayahnya di Tuas.

Republik itu mengemukakan bantahan keras terhadap Kerajaan Malaysia.

Singapura mendakwa kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia melakukan pencerobohan ke dalam perairan wilayah republik itu sejak dua minggu lalu di luar pantai Tuas.

*5 Dis 2018 - Malaysia dapati dakwaan Singapura adalah tidak tepat kerana had pelabuhan yang diubah ke atas Pelabuhan Johor Bahru tidak sekali-kali mencerobohi ke mana-mana bahagian Singapura, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata Singapura pada beberapa tahun lepas menjalan kerja-kerja penambakan tanah secara besar-besaran di kawasan berkenaan yang dipersoal dan ia undang-undang lapuk bahawa penambakan tanah itu tidak melepasi garis asas negeri dan/atau garis tapak.

Singapura mengulangi bahawa perairan wilayahnya memang menganjur ke barat had pelabuhan semasa sekitar Tuas, menurut jurucakap Kementerian Pengangkutan republik itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir berkata kerajaan bersedia mengukur sempadan perairan Malaysia dan Singapura bagi melihat sama ada benar kapal Malaysia menceroboh perairan republik itu.

* 6 Dis 2018 - Singapura mendakwa bahawa kapal-kapal Kerajaan Malaysia secara berterusan menceroboh perairan wilayahnya di Tuas dengan 14 kali pencerobohan setakat ini.

Singapura membantah pencerobohan berulang menerusi Nota Pihak Ketiga.

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata melihat kepada perkembangan provokatif baru-baru ini, Singapura memutuskan untuk melebarkan Had Pelabuhan Singapura di luar Tuas melalui Pemberitahuan Maritim dan Penguasa Pelabuhan Singapura (Had Pelabuhan) (Pindaan) 2018.

*7 Dis 2018 - Malaysia mencadangkan kepada Singapura supaya kedua-dua negara menghentikan penghantaran aset ke kawasan Tuas yang dipertikaikan, berkuatkuasa jam 0000 pada 8 Dis sementara menunggu perbincangan mengenai isu-isu sempadan laut yang belum selesai.

Malaysia bantah keputusan Kerajaan Singapura berhubung penerbitan Pekeliling No.9 2018 bertarikh 6 Disember 2018 oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura bertujuan untuk memperluaskan had pelabuhan Singapura di luar Tuas.

Singapura tidak bersetuju dengan cadangan Malaysia bagi kedua dua negara menghentikan penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan, menurut Kementerian Luar Singapura.

* 8 Dis 2018 - Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pertikaian antara Malaysia dan Singapura berhubung sempadan ruang udara dan maritim akan ditangani berlandaskan peruntukan undang-undang dan hak negara.

*10 Dis 2018 - Perdana Menteri Dr Mahathir berkata kapal milik negara akan terus berada di kawasan pertikaian sempadan perairan Malaysia-Singapura sehingga proses perundingan melibatkan kedua-dua negara selesai.

Singapura mengalu-alukan persetujuan Malaysia bahawa para pegawai bertemu pada minggu kedua Januari 2019 untuk bertukar-tukar pandangan bagi menyelesaikan isu had pelabuhan Pelabuhan Johor Bahru, menurut Kementerian Luar Singapura (MFA).

Singapura "mengulangi seruannya ke Malaysia untuk kembali ke status quo sebelum 25 Okt 2018.""Malaysia akan bertanggungjawab terhadap sebarang keadaan tidak diingini yang timbul akibat penempatan kapal kapalnya secara berterusan di kawasan ini," kata kementerian.

* 12 Dis 2018 - Singapura mendesak Malaysia mengundurkan semua kapalnya dari perairan wilayah Republik itu. Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata Malaysia telah mengundurkan dua buah kapalnya tetapi sebuah kapal masih berada di perairan Singapura.

* 13 Dis 2018 - Singapura memfailkan satu deklarasi di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) bagi memastikan Malaysia tidak memulakan prosedur timbang tara atau penghakiman unilateral pihak ketiga berhubung pertikaian sempadan maritim antara kedua-dua negara.

Singapura juga tidak boleh memulakan prosedur timbang tara atau penghakiman pihak ketiga secara sepihak terhadap Malaysia.

-- Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS