Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Bagi sesiapa yang sensitif, tentu dapat merasakan kekecewaan di kalangan penyokong Harimau Malaya yang tidak dapat tiket perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Bukit Jalil tempoh hari. Terutama bagi penyokong tegar.

Selain sistem penjualan tiket yang dikritik, juga muncul apa yang disebut sebagai 'bangsa final' yang mendapat tiket melalui pelbagai cara luar biasa. Termasuk dikatakan melalui ‘pintu belakang’.

Istilah 'bangsa final' merujuk orang yang hanya sibuk apabila Malaysia berjaya ke perlawanan akhir. Dalam semua jenis sukan popular, bangsa tersebut wujud.

Sedangkan sebelumnya, mereka tidak peduli pun tentang nasib dan perkembangan sukan seperti bola sepak, badminton, takraw dan lain-lain. Tidak endah sama sekali.

Bangsa final sanggup ke stadium dengan tujuan memetik gambar, berswafoto dan bersoraklah barang mana perlu. Semua itu perlu dirakam dan dimuat naik ke media sosial.

Namun barang diingat, jenis manusia bangsa final juga berjangkit di kalangan politikus atau menteri. Ada yang sanggup menyiapkan grafik untuk menunjukkan sokongan segera. 

Dan ada kalanya, aksi—atau lebih tepat boleh dikatakan sebagai lakonan—begitu berlebih-lebih. Kalau ditanya nama pemain atau jurulatih, silap haribulan mereka tak tahu.

Oleh itu, kita boleh faham mengapa penyokong tegar meluat, bukan kerana tidak mahu ramai orang ke stadium, tetapi biarlah ada keikhlasan. 

Fokus adalah kepada pasukan kebangsaan. Bukan nampak sangat kepura-puraan, atau dalam bahasa anak zaman sekarang sebagai “fake sangat!”

'Bangsa final' dilihat hanya kemaruk populariti, gilakan RT (ulang ciap Twitter) dan like. Mereka mahukan kejayaan—juga kesenangan—tanpa susah-payah, resah-gelisah atau lebih tepat, tanpa erti sebuah perjuangan.

Bagi bangsa final, tiada kesetiaan apa-apa, kepada sesiapa pun, kalau tidak dapat “tumpang glam” sekali. Semudah dan semurah itu.

Berlakon jadi YB bebas

Sikap sebegitu cerminan manusia yang rendah tamadun sampai hilang perasaan segan. Sering 'bangsa final' atau manusia palsu menganggap pihak lain tak tahu atau tidak reti menilai sikap. Kini 'bangsa final' juga bermunculan di dalam arena politik. Dari pelbagai sudut.

Selepas pilihan raya umum lalu, jumlah bangsa final jenis politik bertambah hari ke hari. Seorang demi seorang mula meninggalkan, misalnya, Umno-BN yang kalah. Terbaru dengan apa yang dapat kita saksikan di Sabah, dan juga di serata tanah air.

'Bangsa final' di dalam politik Malaysia tentulah lebih ‘bijak’ daripada kelompok sebangsa di stadium perlawanan akhir. Mereka tidak terus menyertai Bersatu misalnya, tetapi berlakon untuk beberapa bulan—atau mungkin sahaja beberapa minggu—sebagai YB bebas sebelum menyertai parti dalam Pakatan Harapan.

Oleh kerana otak pemikiran mereka berteraskan politik kaum, maka Bersatu merupakan parti pilihan yang ada dalam gabungan kerajaan semasa. Kalau pun ada pilihan lain di Sabah, tidak lain ialah Warisan yang ditubuhkan dengan sentimen kenegerian berapi-api.

Jenis 'bangsa final' sebelum pilihan raya pula dapat dikenal pasti kepada yang sejak bertahun konon bercakap tentang penting politik antiperkauman, berjiwa liberal atau propasaran bebas, tetapi demi jadi calon PRU atau menteri, mereka pun menyertai parti yang bersifat sebaliknya.

Maknanya yang diucapkan selama ini adalah palsu. Mungkin boleh digunakan istilah 'main ngelat'—kalau pun bukan menipu.

Main ngelat bukanlah sifat seorang yang budiman. Di UK atau Jepun, selalu saya diberitahu mengelat adalah antara perbuatan yang dipandang jelek.

Selalu diingatkan dan diajar dari anak sekolah, pegawai kerajaan sampai kepada para menteri agar jangan main ngelat demi mencapai maksud apa pun.

Kepercayaan rakyat jadi mainan

Buat masa ini, Bersatu kelihatan terdesak untuk memperkukuhkan kedudukan dalam PH. Maka jalan pintas untuk menjadi kuat ialah mengambil seberapa ramai bangsa final dari, misalnya dari Umno. 

Di sinilah satu cara main ngelat dipaparkan dan tidak dianggap bersalah. Kepercayaan rakyat mainan semata.

Etika atau rasa tidak bermaruah diketepikan dengan menyatakan bahawa mereka melompat demi “memastikan kemajuan negeri”, atau untuk kedengaran lebih muluk disebut, “demi perpaduan Melayu.” Matlamat membenarkan cara.

Sepertimana di dalam bola sepak, bangsa final di dalam politik juga tidak perlu berjuang atau berkorban apa-apa. 

Mereka tidak pernah faham ertinya susah-payah dan perih getir perjuangan. Sebab itu hampir mustahil bagi mereka untuk menjiwai erti dan makna reformasi sepertimana yang menjadi cita-cita rakyat yang mencetuskan perjuangan perubahan, dua dekad lalu.

Bagi sesiapa yang serius di dalam perjuangan, apa yang lebih utama untuk difahami ialah masalah sebenar yang mengikat kaki bangsa daripada mencapai kemajuan dan ketamadunan yang tinggi. 

Selain dipenuhi sikap suka mengelat, pengikat itu tidak lain adalah politik perkauman yang sengaja diwujudkan oleh pemimpin dan parti-parti tertentu sejak puluhan tahun.

BN merupakan gabungan terbesar parti-parti perkauman. Pun begitu, kalau diukur dalam konteks Malaysia lama, dan demi berlaku adil, BN merupakan gabungan paling sederhana dan progresif dalam sejarahnya. Sekurang-kurangnya sejak sebelum 1998.

Parti oposisi utama lainnya, misalnya PAS dan DAP merupakan parti perkauman yang sejak lama jauh lebih tertutup dan keras, berbanding BN. 

Hari ini PAS sudah bersama Umno walaupun tidak secara rasmi; dan DAP pula bersama PH. Oleh itu, barangkali ada pemimpin Bersatu menjadi risau tentang nasib Melayu di dalam PH dan kerajaan semasa. 

Politik dua kali lima

Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh menteri kewangan dilihat ada unsur mengenepikan banyak kepentingan masyarakat luar bandar, khususnya orang Melayu. 

Bukan sahaja bantuan kepada mahasiswa dipotong, bantuan kepada nelayan yang dilakukan termasuk di banyak negara maju, juga pada mulanya dihentikan.

Berdasarkan bayang perkauman yang mulai menjelma, maka disangkakan Bersatu adalah wadah terbaik bagi mewakili Melayu untuk berhadapan dengan DAP secara dalaman. 

Kata mereka, lihat sahaja di Pulau Pinang, DAP mengawal negeri itu hampir sepenuhnya, dan pihak lain ibarat boneka semata.

Perjuangan sebenar melawan politik perkauman memang perlu, dan nampaknya jalan masih berliku. Apa yang harus insafi ialah politik perkauman tidak boleh dilawan dengan perkauman. 

Kebijaksanaan dituntut demi menyelesaikannya sekali ini dan buat selama-selamanya. PAS dan DAP tidak boleh menafikan bahawa perjuangan parti masing-masing memang berteraskan politik perkauman. 

Meletakkan dua tiga kerat “pasu bunga” dari kaum lain tidak mengubah dasar dan hakikat perjuangan dua parti itu.

Tentu PAS selalu berhujah, selagi seseorang itu Islam dia boleh menyertai PAS: maka PAS bukan parti perkauman. Begitu juga DAP yang ada kalanya berlebih-lebihan menonjolkan satu-dua pemimpin di kalangan Melayu bagi menutup kenyataan yang sebaliknya. 

Semakin ditonjolkan, semakin jelas pula warnanya.

Semua sandiwara walau sehebat mana skrip dan lakonannya, akan tetap terkesan serta disedari apabila kita melihat dasar serta kerangka besar setiap satu parti berkenaan. 

Berselindung di sebalik hujah “keadilan Islam”; atau demokrasi, hak asasi bahkan kemanusiaan sejagat adalah satu bentuk silap mata yang tidak boleh menutup agenda yang terbentuk dari jejak sejarah.

Dalam waktu sama, Umno juga mendakwa ada anggotanya yang terdiri dari yang bukan Islam; hujah yang sama dibawakan Bersatu. Pada titik inilah Bersatu secara sedar atau tidak, sedang bergerak untuk memaksakan format lapuk BN, ke dalam PH.

Penentangan paling besar berhubung perkara itu dijangkakan bukan datang dari Amanah atau Keadilan, tetapi dari DAP. Parti itu dilihat tidak mahu wujudnya sebuah “parti Melayu” yang terlalu kuat atau mendominasi PH. 

Di luar PH, tentangan akan datang bukan sangat dari Umno, tetapi dari PAS yang juga mempunyai cita-cita untuk menjadi parti perkauman bagi Melayu yang terbesar di negara ini.

Sentimen terbaik bagi PAS tentulah dengan menjual agama, dan sentimen terbaik bagi DAP ialah ‘mempertahankan’ kepentingan kaum minoriti atas nama demokrasi. 

Sekali lagi, semua politik begitu tetap dua kali lima, dan sekali lagi politik perkauman tidak boleh dilawan dengan perkauman juga.

Amaran yang perlu diberikan kepada PH bukan sahaja melibatkan pemimpin Umno yang sudah ditolak rakyat, untuk diterima ke dalam PH, tetapi mewujudkan “Umno baharu” dalam PH bukan masa depan Malaysia. Samalah dengan mewujudkan MCA 2.0 atau MIC 2.0 juga bukan masa depan bangsa ini. Kita perlu lebih jujur dan rajin untuk menyelesaikan dengan jalan yang tidak pernah diambil sebelum ini.

Sepertimana yang menyebabkan BN kalah, PH juga boleh dikalahkan kalau mengambil format sama. Bangsa final dalam semua keadaan tidak memberi nilai tambah apa-apa, kecuali seperti bidalan orang tua-tua, golongan ini merupakan “pahlawan kesiangan” sahaja.

Mungkin lebih teruk lagi.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS