Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan undur dari konsep Islam inklusif, progresif demi undi'

KONVENSYEN AMANAH | Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti itu tidak perlu berundur daripada konsep Islam yang inklusif dan progresif hanya kerana undi.

"Kita mendukung konsep rahmatan lil alamin. Inilah waktunya kita menegaskan bahawa kita tak akan berundur dalam mempamerkan Islam yang inklusif dan progresif.

"Kita tak akan berundur (daripada konsep ini) hanya kerana perhitungan undi dan politik Melayu...Yang terperangkap dalam sifat melampau Umno dan kesempitan agama oleh parti silam (PAS)," katanya merujuk parti lamanya iaitu PAS.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Konvensyen Amanah Nasional 2018 di Ipoh, hari ini.

Dalam PRU lalu, Amanah mencatatkan prestasi yang buruk di dua negeri majoriti Melayu yang juga kubu kuat PAS - Kelantan dan Terengganu - apabila gagal meraih walau satu kerusi.

Bagaimanapun secara keseluruhan parti itu menang di sebelas kawasan Parlimen dan 34 Dewan Undangan Negeri.

Memetik demografi pengundi Malaysia dengan kira-kira 60 peratus pengundi Melayu dan 40 peratus pengundi bukan Melayu, beliau berkata PH akan kekal sebagai kerajaan selagi mendapat 55 peratus undi - 25 peratus daripada Melayu dan 35 daripada bukan Melayu.

Dalam pada itu, beliau berkata pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak perlu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) kerana ia sentiasa mendukung konsep keadilan untuk semua

Katanya, ini kerana konsep keadilan, kesaksamaan dan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus ditegakkan.

"Kita tak perlukan Icerd. Kerajaan lain yang menzalimi kaum dan budaya lain pastinya memerlukan (konvensyen PBB itu)

"Jika pemerintahan (seumpama ini) yang kita dukung, kita tak perlu ratifikasi Icerd. Amanah akan pastikan kita mendukung keadilan untuk semua dan membanteras segala bentuk diskriminasi dan perkauman," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS