Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ada wajah kurang dikenali dilantik pengerusi PKR negeri

Presiden PKR Anwar Ibrahim membuat kejutan dengan pelantikan pengerusi negeri parti itu.

Jawatan berkenaan cukup penting kerana mereka yang dilantik dijangka akan merangka dasar dan berunding dengan rakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada peringkat negeri.

Menurut perlembagaan parti, presiden perlu melantik pengerusi PKR negeri selepas berunding dengan semua pemimpin cabang PKR di negeri ini.

Tidak seperti kedudukan pengerusi PKR negeri, kepimpinan cabang PKR dipilih oleh akar umbi melalui pengundian.

Minggu lepas, Anwar menjelajah ke seluruh negara dan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin cabang PKR. Pengerusi negeri yang baru dilantik kemudian diumumkan secara berperingkat.

Lantikan telah dimuktamadkan

Dipercayai pada kebanyakan mesyuarat para pemimpin cabang PKR mengambil bahagian dalam undi rahsia bagi memilih pengerusi PKR negeri.

Bagaimanapun, Anwar merupakan satu-satunya orang yang mempunyai akses terhadap undi, hasilnya mungkin tidak akan diketahui. Sementara peraturan parti pula tidak memaksa beliau untuk menerima keputusan pengundian tersebut.

Sekarang pelantikan pengerusi PKR negeri telah dimuktamadkan. Berikut merupakan pemerhatian Malaysiakini.

Terdapat lima pengerusi PKR yang dilantik semula - Azan Ismail (Terengganu), Hassan Karim (Johor), Christina Liew (Sabah), Aminuddin Harun (Negeri Sembilan) dan Baru Bian (Sarawak).

Selain Azan, semua mereka ialah anggota parlimen dengan Aminuddin, Liew dan Baru memegang jawatan eksekutif. Sebelum ini, Azan pernah menjadi ahli parlimen, Adun Terengganu dan pengerusi PKR Terengganu (2011-2014).

Pelantikan Aminuddin sudah dijangka memandangkan beliau ketua eksekutif Negeri Sembilan, sebagaimana pelantikan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Hanya dua wanita

Pelantikan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Fuziah Salleh sebagai pengerusi PKR Pahang tidak mengejutkan kerana beliau merupakan satu-satunya ahli parlimen PKR negeri dengan jawatan eksekutif.

Hanya dua wanita sahaja yang tersenarai, iaitu Fuziah dan Liew.

Di Perlis, Anwar memilih Ketua Cabang Padang Besar, Amran Kamarudin sebagai pengerusi PKR negeri. Beliau seorang pegawai bank dan menyertai PKR sejak 1999.

MP Sungai Petani dan Adun Gurun Johari Abdul pula dilantik sebagai pengerusi PKR Kedah.

Walaupun Johari seorang veteran PKR, pelantikannya kelihatan janggal kerana beliau gagal diundi sebagai pemimpin cabang semasa pemilihan parti baru-baru ini.

Pengerusi Tekun Nasional

Di Kelantan, muka baru PKR Mohamad Suparadi Md Noor dipilih menjadi pengerusi negeri. Suparadi dilantik sebagai pengerusi Tekun Nasional, skim pembiayaan mikro kerajaan persekutuan, oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof pada 1 Oktober lalu.

Beliau memulakan kerjayanya dengan Bank Bumiputera Bhd sebelum menyertai dunia korporat dan pernah menjadi pengerusi Kompleks Sukan Negara. Beliau merupakan bekas ahli Umno dan pernah menjadi ketua penerangan parti di Kelantan.

Mohamad Suparadi menyertai PKR kurang setahun lalu dan bekas presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail memberikan beliau pengecualian untuk bertanding dalam pemilihan kepimpinan cabang PKR Tanah Merah.

Di negeri asalnya Pulau Pinang, Anwar melantik anaknya Nurul Izzah sebagai pengerusi PKR negeri. Nurul Izzah ialah naib presiden PKR yang dipilih dengan undi tertinggi.

Di Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang merupakan setiausaha politik Anwar dilantik sebagai pengerusi PKR negeri. Farhash mempunyai pengalaman kerjaya profesional yang mengagumkan. Beliau mempunyai ijazah sarjana dalam bidang kewangan dan merupakan usahawan teknologi yang berjaya.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mempunyai pencapaian politik dan pemilihannya sebagai pengerusi negeri melangkaui lebih ramai anggota parti yang lebih kanan yang juga merupakan ahli parlimen atau Adun.

Cukup menarik Farhash, pada usia 36 tahun, merupakan pemimpin PKR negeri termuda pada masa ini.

Di Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan dilantik pengerusi PKR. Walaupun beliau tidak pernah dipilih untuk jawatan awam, Zahir ialah veteran reformasi dan bekas timbalan setiausaha agung PKR.

Akhir sekali, Halim Bachik merupakan pengerusi PKR Melaka yang baru. Halim menyertai parti itu dan aktif buat sementara waktu serta menjadi calon PKR pada pilihan raya umum 2013 dan 2018. Kedua-dua percubaan itu tidak berjaya.

Zahid dan Halim, seperti Farhash, dipilih untuk mengetuai kepimpinan PKR di negeri masing-masing berbanding para pemimpin lain yang lebih lama dan mereka yang dipilih memegang jawatan awam.

Kini, Anwar telah menyelesaikan proses pelantikan pengerusi PKR negeri. 

Selanjutnya, Anwar dijangka akan melantik majlis kepimpinan pusat parti dan jawatan penting setiausaha agung PKR.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS