Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin ulas 'sejarah buruk' Rahim dengan Anwar, Guan Eng
Diterbitkan:  Dec 16, 2018 6:43 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata konteks politik baru perlu diambil kira dalam menilai bekas pemimpin Umno yang berhasrat menyertai parti itu.

Ia susulan permohonan bekas Ketua Menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik untuk menyertai Bersatu walaupun memiliki sejarah buruk dengan pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin secara spesifik diminta mengulas "sejarah buruk" antara Rahim dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

"Itu zaman dulu, (ketika) di sebelah sana (BN), sekarang (sudah) sebelah sini (PH). Macam saya juga, dan Dr Mahathir Mohamad pun (dulu) sebelah sana.

"Ini pertimbangan politik terkini - kita lihat situasi baru dengan perspektif baru," katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Bersatu Melaka, hari ini.

Proses saringan

Bagaimanapun Muhyiddin berkata Rahim perlu melalui proses saringan, sama seperti pemimpin lain yang memohon menyertai parti itu.

"Modus operandinya mereka isytihar keluar dari Umno. Kemudian ada 'cooling period' sebelum mereka buat keputusan (sertai parti mana).

"Ia memberi kita masa untuk membuat saringan...Dua perkara - tiada kes rasuah atau salah guna kuasa," katanya lagi.


Baca: Rahim Thamby Chik tinggalkan umno, mohon masuk Bersatu


Muhyiddin juga menjawab gesaan agar PH mengadakan mesyuarat Majlis Presiden untuk membincangkan perkara itu.

Katanya, ia sudah dibincang berulang kali sebelum ini.

Namun, katanya lagi, ia muncul sekali lagi susulan tindakan sejumlah pemimpin dan wakil rakyat Umno yang keluar parti itu baru-baru ini.

Beliau berkata, syarat yang dikenakan Bersatu terhadap mereka yang memohon selaras dengan kriteria yang ditetapkan Majlis Presiden PH.

Jika mereka diterima dalam PH, katanya, ia akan memudahkan agenda PH dalam Dewan Rakyat, di mana majoriti dua pertiga diperlukan untuk beberapa pindaan perundangan.

Rahim, yang menjadi ketua menteri Melaka selama 12 tahun, disiasat bagi dakwaan rogol berstatutori terhadap seorang individu bawah umur pada 1994. Kes itu kemudian digugurkan kerana kekurangan bukti.

Lim Guan Eng - anggota parlimen Kota Melaka pada masa itu - dipenjara selama 18 bulan bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948 kerana mempersoalkan apa yang didakwanya sebagai "tiada tindakan".

Rahim memfailkan saman terhadap DAP atas tuduhan rogol berstatutori itu. Parti itu kemudian menarik balik dakwaan itu selepas mengambil kira pihak yang membuat tuduhan telah menarik balik dakwaannya.

Rahim kemudian membatalkan saman terhadap DAP. Di sebalik tuduhan itu, Rahim tidak pernah disabitkan.

Beliau juga sebahagian daripada 'trio Datuk' yang menayangkan video seks terhadap sekumpulan wartawan pada 2011.

Mereka mendakwa video itu memaparkan Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama seorang pelacur. Anwar menafikan dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS