BERITA

Zahid: Pahang hati-hati, ada 'gunting dalam lipatan'

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Dis 2018, 1:53 tengahari

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wujud gerakan untuk membeli anggota parlimen dan Adun supaya berpaling tadah untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pahang.

Menurut MP Bagan Datuk itu terdapat gunting dalam lipatan yang mengugut dan memujuk MP dan Adun untuk menumbangkan pentadbiran BN di Pahang.

“Saya ingatkan orang Pahang bahawa sudah ada gunting dalam lipatan. Saya tidak menuduh tetapi kita harus berhati-hati.

“Kita harus membendung agar ahli parlimen dan Adun di Pahang tidak berpindah ke sebelah sana sebab sudah ada yang berjumpa dengan orang itu (tanpa menyebut nama).

“Saya menteri yang pernah jaga polis.. askar… saya beritahu ini… jadi saya ingin ingatkan kita perlu hati-hati.

"Usaha sudah dibuat. Perjumpaanpun telah buat. Saksi dalam perjumpaan itupun ada maka kita perlu pertahankan agar mereka ini kekal dengan BN,” katanya, petik Umno Online.

'Jangan risau pasal saya'

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika berucap dalam program pemukiman Umno Bahagian Temerloh.

Zahid berkata Umno Pahang perlu melakukan sesuatu mengenai hal ini dan tidak perlu risau dengan keadaannya.

“Saya beri contoh kejatuhan Melaka ketika Belanda menyerang.. Ketika Portugis menyerang… semua disebabkan maklumat dalaman.

“Jangan risau pasal saya… apapun keputusan saya (untuk kekal sebagai Presiden), saya tetap akan kekal bersama Umno kerana saya mahu melihat Umno terus relevan.

“… biar siapapun yang menjadi Presiden selepas ini, PRU akan datang saya mahu melihat Umno kembali menguasai Putrajaya,” jelas beliau.

Selain Perlis, Pahang merupakan salah satu daripada dua negeri yang masih menjadi benteng terakhir BN selepas kekalahan terburuk dalam pilihan raya umum 9 Mei.

BN menguasai 25 kerusi daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri. PH mempunyai sembilan kerusi manakala PAS mempunyai lapan Adun.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.