Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Malam tadi Muhammad Adib Mohd Kassim telah pergi untuk selamanya. Pepatah Inggeris ada berbunyi “only the good die young” (Hanya yang baik mati muda).

Pepatah itu berasal dari seorang sejarawan Greek bernama Herodotus yang hidup pada 445 BC. Beliau menulis “Whom the gods love dies young” (Orang yang tuhan sayang mati muda).

Begitulah saya rasa hidup Adib. Kepulangannya sewaktu muda adalah atas kehendak Allah jua. Allah berkehendakkan beliau kembali pada usia yang sangat muda dan dalam keadaan yang sangat bermanfaat dan terhormat.

Yang mengesankan saya dan seluruh rakyat Malaysia ialah, Adib pulang semasa memberikan derma baktinya kepada tanah air. Allahyarham adalah anak bangsa yang tidak mensia-siakan umur mudanya, tetapi memanfaatkan kelebihan itu dengan memberikan khidmat pada nusa dan bangsa.

Memberi dengan sebanyak-banyaknya tanpa mengharapkan balasan. Kematian beliau adalah pada waktu tenaga dan khidmatnya sangat diperlukan bangsa dan negara.

Hari ini saya mengajak semua rakyat Malaysia mengenang Adib. Walaupun kita tidak mengenalinya secara peribadi, kita semua tahu ceritanya.

Pertama, marilah kita mengenang pengorbanan Adib dengan berterima kasih kepada keluarganya kerana meminjamkan beliau Adib untuk tanah air.

Kehilangan Allahyarham pasti tidak ada galang ganti pada keluarga dan tunangnya. Dan sebagai sebuah negara dan bangsa yang berterima kasih, kita wajar menzahirkan terima kasih kita kepada keluarga dan tunangnya kerana menyerahkan Adib demi Malaysia yang lebih baik.

Kenang dengan cari keadilan

Tidak mungkin kita boleh berkata kita memahami perasaan mereka. Sesungguhnya, hanya Tuhan yang tahu apa yang bermain dalam hati dan pemikiran mereka.

Tidak ada perasaan yang boleh menggambarkan beratnya tangan dan hati seorang bapa untuk menurunkan jasad anak sendiri ke dalam liang lahad.

Harga yang Allahyarham bayar adalah nyawanya. Tidak ramai antara kita yang sanggup mencagarkannya, walaupun untuk negara dan agama. Jadi, marilah kita berdoa, dengan sedalam dan setulusnya, agar Allah menempatkan Almarhum Adib di tempat yang selayaknya, bersama para anbia dan soleheen.

Kedua, marilah kita mengenang pengorbanan Allahyarham dengan mencari keadilan untuknya. Kematiannya mesti mendapat pembelaan.

Tiada yang mewajarkan sesiapa jua untuk bertindak di luar batas undang-undang. Negara ini negara hukum dan semua warganya mesti hidup dan bertindak berdasarkan undang-undang. Biar apa pun alasan dan matlamatnya.

Saya yakin, kerajaan akan bertindak seadil dan sesaksama mungkin. Hukuman setimpal mesti dijatuhkan kepada mereka yang melakukan jenayah kejam ini.

Lebih-lebih lagi ia melibatkan seorang ahli pasukan penyelamat Malaysia. Ketiga, kematian Adib mesti menguatkan iltizam kita untuk memberikan yang terbaik kepada tanah air.

Yang paling utama ialah memupuk ikatan sosial dan perpaduan negara dengan sebenar-benarnya.

Pilih jalan sukar

Adib adalah mangsa jenayah yang ingin merosakkan kehidupan berbangsa dan bernegara di negara ini. Mereka ingin menimbulkan ketegangan antara kaum atas isu yang bukan pun bersifat perkauman.

Mereka yang bertindak atas emosi dan bukan akal yang waras.

Jadi, Adib mesti menjadi inspirasi untuk kita mencari jalan kesatuan Malaysia yang lebih unggul dan bukan hidup berbangsa-bangsa yang menjauhkan. Jika tidak, pemergian Adib dalam usaha mewujudkan keharmonian itu akan menjadi sia-sia.

Kita mesti menjadikan insiden yang menimpa Adib sebagai pendorong untuk kita melakukan apa jua bagi membanteras segala bentuk sentimen prejudis terhadap mana-mana agama, bangsa dan latar belakang kepercayaan.

Negara ini milik semua dan kita mesti mempunyai rasa kepunyaan terhadap satu sama lain. Adib seharusnya mengingatkan kita bahawa semua rakyat Malaysia mesti hidup dalam keadaan rukun dan damai agar tiada lagi ‘Adib’ kedua dan ketiga selepas ini.

Keempat, kita harus mengenang Adib kerana ada cerita lain dari politik memualkan di Malaysia yang dipanggil baru ini.

Adib adalah cerita keberanian, dedikasi dan pengorbanan. Adib adalah cerita anak muda yang berkhidmat demi cintanya pada tanah air.

Tidak ramai anak muda yang ingin mengabdikan hidup menjadi penyelamat dan petugas kemanusiaan sepertinya. Ramai sahaja anak muda yang memilih hidup dengan limpahan kewangan, prestij dan kesenangan.

Tetapi Allahyarham memilih jalan yang sukar. Jalan yang menuntut pengorbanan masa, keringat dan keberanian yang bukan biasa-biasa.

Perspektif baru dalam menyumbang

Inilah cerita Malaysia yang luar biasa, yang wajar kita ulang dan ingat hasil pengorbanan insan yang istimewa seperti Adib dan rakan-rakannya.

Kepada ahli politik di Malaysia, kalian harus mengambil teladan dari Adib. Berilah sumbangan pada Malaysia ini dan hentikan ‘politiking’.

Malaysia memerlukan pemimpin yang akan melakukan pengorbanan dan bukanya sentiasa mengejar kuasa dan pengaruh.

Malaysia bukan hanya tentang siapa paling berkuasa, tetapi tentang siapa yang paling banyak menyumbang dan memberi.

Yang pasti, Adib memberikan saya perspektif baru dalam menyumbang. Bahawa kita tidak memerlukan hanya kuasa untuk berbakti. Sekecil mana pun kita, di peringkat mana pun kita, kita semua berada dalam kedudukan terbesar untuk memberi kepada negara.

Yang kita perlukan adalah kesungguhan untuk melakukan perkara yang benar dan betul. Tidak ramai mereka yang menjadi tersohor kerana kerja ikhlas mereka setelah mereka pergi. Adib adalah teladan terpencil.

Terakhir, marilah kita mengenang Adib dengan meneruskan kerja baiknya. Kita harus mengajak anak muda Malaysia menyumbang kudrat mereka kepada Malaysia yang kita kasihi ini.

Malah sesiapa sahaja. Yang tua, yang berada, yang tidak mempunyai apa-apa. Marilah kita melakukan kerja baik. Kerana, biar apa pun yang kita punyai atau tidak punyai, kita semua punyai satu rumah yang kita kongsi. Yang kita panggil Malaysia.

Marilah menyumbang kerja baik untuk negara ini. Kerja baik yang walau sekecil dan sebesar mana pun, tidak dipolitikkan. Kerja baik yang kita harap akan mendatangkan kebaikan.

Kepada Adib, sesuai gelar namamu, seorang yang beradab, santun serta berbudi pekerti tinggi, insya-Allah ‘budi pekerti’mu pada tanah air, akan kami kenang selagi ada hayat. Hari ini, keluargamu dan kami semua pulangkan dirimu kepada ibu pertiwi.

Pulanglah dan bertemulah dengan Penciptamu dengan keadaan Dia redha dan menerimamu sebagai hamba-Nya yang dikasihi. Kami memulangkanmu dengan rasa sangat terhutang budi.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, hari ini, esok dan seterusnya, marilah kita mengenang Adib. Adib adalah cerita tentang anak muda. Yang jiwanya pada bangsa, pada negara. Jangan kita sia-siakannya.

Adib, terima kasih. Al-Fatihah.


MOHAMED KHALED NORDIN merupakan naib presiden Umno.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya.

Lihat Komen
ADS