Paling Popular
Terkini

Gara-gara tidak yakin dengan ketua cabang sendiri, anggota jawatankuasa (AJK) PKR Tanah Merah menulis surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk memanjangkan isu berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini Setiausaha PKR Tanah Merah Iswadi Ismail berkata majoriti AJK cabang itu membuat akuan bersumpah dan mengemukakan undi tidak percaya kepada ketua cabang itu, Mohamad Suparadi Md Noor dan timbalannya, Mohd Hanuzi Zaharim.

Katanya, seramai 12 AJK sepakat untuk mengada undi tidak percaya ke atas kedua-dua individu tersebut.

"Faktornya kerana ketua cabang merupakan masih anggota Umno.

"Dia digantung (oleh Umno) disebabkan amalan politik wang," katanya hari ini.

Terdahulu, surat akuan hilang kepercayaan terhadap Mohamad Suparadi yang juga pengerusi PKR Kelantan itu tular di media sosial.

Surat bertarikh 16 Disember lalu itu ditandatangani Iswadi dan Naib Ketua Cabang, Ali Lison Isa.

"Dimaklumkan bahawa kami majoriti anggota PKR cabang Tanah Merah bersepakat untuk membuat akuan bersumpah hilang kepercayaan ke atas ketua cabang dan timbalan ketua cabang.

"Kami anggota cabang PKR Tanah Merah mencapai 2/3 majoriti yang menang dalam pemilihan sebulat suara menolak ketua dan timbalan ketua cabang, " kata surat tersebut.

Sementara itu, Mohamad Suparadi ketika dihubungi berkata, surat akuan itu tidak sah, malah jawatan Iswadi sebagai setiausaha juga sudah tamat tempoh.

"Dia adalah setiausaha pada penggal lepas, bukan setiausaha sekarang, malah saya belum panggil AJK untuk bermesyuarat setakat ini.

"Tentang undi tidak percaya pula, ia perlu dibuat dalam mesyuarat cabang, bukan melalui ROS. Apa kelayakan dia (Iswadi)? Dia tak ada kena mengena, " katanya kepada Malaysiakini.

Gugur secara automatik

Ditanya mengenai dakwaan beliau masih lagi ahli Umno, Mohamad Suparadi berkata, selepas menjadi ahli PKR keahlian Umno akan gugur secara automatik.

"Alasan undi tidak percaya dikatakan saya masih ahli Umno tidak tepat kerana mungkin mereka periksa melalui pangkalan data.

"Saya menjadi anggota PKR pada 18 April lalu, bermakna secara automatik keluar Umno," ujarnya.

Mengulas dakwaan digantung Umno kerana wang politik katanya, ia adalah satu konspirasi.

"Saya tidak pernah terima sebarang surat mengenai perkara itu. Ia adalah konspirasi ke atas saya.

"Pada 2013, saya digantung parti (Umno) dan sejak itu saya tidak lagi aktif dalam politik sehinggalah pada 2016 saya bantu PH," jelasnya.

Dalam pada itu, Iswadi ketika dimaklumkan mengenai penjelasan Mohamad Suparadi berkata, hal itu terserah kepada beliau sendiri.

"Itu ikut dialah, nanti kita akan bincang dengan AJK lain," jelasnya ringkas ketika ditanya sama ada akan terus mendesak supaya ketua cabang baru mereka itu berundur atau tidak.

Lihat Komen
ADS