Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tak mahu jadi ketua umum Umno
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 5:58 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Bekas presiden Umno Najib Razak hari ini berkata beliau tidak berhasrat untuk menjadi ketua umum parti itu.

"Sejak minggu lalu juga, ramai pemimpin dan ahli-ahli Umno meminta saya untuk mengambil kembali kepemimpinan Umno ataupun menjadi ketua umum parti.

"Saya ucapkan terima kasih di atas kepercayaan itu namun saya tidak berniat atau berhasrat untuk menjadi ketua umum parti," katanya melalui Facebook.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan bagi menangani masalah lompat parti yang melanda parti mereka.

Susulan itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam hari ini mencadangkan agar Najib dilantik sebagai ketua pembangkang dan ketua umum Umno, yang kemudian mendapat kritikan termasuk daripada Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Mengulas tindakan Ahmad Zahid, Najib berkata ia merupakan "tindakan mulia" yang melangkaui kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan parti.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin dengan keupayaan Mohamad menyandang tugas presiden.

"Sebagai presiden yang dipilih secara demokratik oleh parti, (tindakan Ahmad Zahid) ini ialah satu pengorbanan peribadi yang besar dan bukan satu langkah yang mudah untuk beliau ambil.

"Pun begitu, saya juga yakin dengan Tok Mat Hasan yang akan menyandang tugas-tugas presiden parti.

"Beliau memiliki visi, kepimpinan dan kepercayaan pemimpin dan ahli parti untuk menstabilkan serta bina semula Umno," katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, keutamaannya ketika ini adalah untuk membersihkan namanya dalam dakwaan undang-undang yang sedang dihadapi selain menyuarakan kepentingan rakyat.

"Walau bagaimanapun, saya sentiasa sedia memberi pertolongan dan sokongan penuh kepada Tok Mat Hassan dan barisan pemimpin Umno jika ada permintaan atau keperluan daripada mereka," katanya.

Najib kini berdepan 24 pertuduhan atas dakwaan pengubahan wang haram, sembilan pertuduhan pecah amanah, dan lima penyalahgunaan kuasa. 

Beliau juga berdepan pertuduhan berhubung dakwaan menukar laporan asal audit 1MDB.

Lihat Komen
ADS