Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AirAsia gesa pengawal selia penggubal dasar tolak PSC tambahan RM23
Diterbitkan:  Dec 20, 2018 7:34 AM
Dikemaskini: 11:34 PM

AirAsia menggesa pengawal selia dan penggubal dasar dalam industri penerbangan untuk menolak caj perkhidmatan penerbangan (PSC) tambahan sebanyak RM23 oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang dianggapnya sebagai langkah tidak adil dan tidak munasabah.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata MAHB menegaskan bahawa ia memerlukan lebih banyak keuntungan untuk mengendalikan lapangan terbang kecil yang mencatatkan kerugian sebagai mewakili kerajaan, tetapi jelas daripada pertumbuhan pesat keuntungannya dalam tempoh tiga tahun lepas walaupun selepas mengambil kira kerugian dalam operasi di Turki, ini bukan kes yang sebenarnya.

Beliau berkata, PSC tambahan yang akan dikutip itu akan berjumlah lebih daripada RM100 juta setahun dan akan terus kepada keuntungan MAHB dan bukan kepada pihak kerajaan.

“MAHB akan terus menjadi antara syarikat Malaysia paling menguntungkan untuk tempoh bertahun-tahun akan datang.

“Tetapi ini akan memudaratkan ekonomi Malaysia dan memberi kesan kepada enjin pertumbuhan ekonomi negara seperti AirAsia dan AirAsia X,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAHB telahpun mengenakan PSC sebanyak RM50.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail membantah kenaikan harga itu daripada setiap penumpang yang memulakan perjalanan menerusi klia2, dengan menyatakan ia ‘caj tinggi yang tidak adil’ memandangkan persekitaran ‘lapangan terbangnya yang tidak mesra pengguna’.

“Selain itu, sejak klia2 mula beroperasi, sering terdapat gangguan dan pembatalan penerbangan disebabkan kerosakan pada apron dan landasan, penutupan landasan yang tidak berjadual, lopak air yang berkolam dan yang terbaik ialah saluran bahan api yang pecah.

“Kami tidak akan bersekongkol dalam skim membebankan rakyat dan membuat mereka membayar lebih untuk perkhidmatan yang tidak berkualiti,” katanya.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS