Saham Proton merudum akibat Volkswagen
Terjemahan Saham proton di Bursa Malaysia merudum pagi ini berikutan pengumuman gagalnya kerjasama yang hendak dijalin antara syarikat kereta nasional itu dengan syarikat kereta German, Volkswagen.
Terjemahan Saham proton di Bursa Malaysia merudum pagi ini berikutan pengumuman gagalnya kerjasama yang hendak dijalin antara syarikat kereta nasional itu dengan syarikat kereta German, Volkswagen.
Harganya ditutup pada RM5.65 sesaham, jatuh 70 sen atau 11 peratus. Ia jatuh ke paras terendah RM5.10 pada sebelah pagi sebelum pulih semula pada sesi petangnya. Proton menjadi kaunter rugi yang paling aktif hari ini.
Ketika pasaran masih terkejut dengan berita pembatalan kerjasama itu, Proton Holdings pula menyatakan ia sedang berusaha untuk mengesahkan tindakan syarikat kereta keempat terbesar di dunia itu.
"Kami belum menerima sebarang respons dari Volkswagen. Kami sedang menunggu pengumuman rasmi mereka," kata jurucakap syarikat tersebut, Yusri Yusuf kepada AFP.
Ketua Eksekutif Volkswagen, Bernd Pischetsrieder memberitahu penganalisis pasaran di Michigan, Amerika Syarikat awal minggu ini, rundingan untuk menjalin kerjasama itu telah gagal dan sebarang kerjasama pada masa depan adalah pada skala kecil sahaja.
"Dalam rundingan dengan Proton, kami mencadangkan idea yang spesifik tetapi kerajaan Malaysia, Khazanah dan Proton mempunyai pendapat yang berbeza," kata Pischetsrieder.
"Oleh itu kerjasama dengan Proton tidak menjadi," tambahnya.
Khazanah Nasional yang merupakan sayap pelaburan kerajaan menguasai 38 peratus ekuiti dalam syarikat kereta nasional itu.
Sambil menolak spekulasi yang mengatakan Volkswagen bersedia menguasai majoriti saham Proton, Pischetsrieder menegaskan, sebarang kerjasama pada masa depan adalah dalam saiz skala kecil sahaja.
Proton sebelum ini menguasai pasaran kereta tempatan bagaimanpun sejak kebelakangan ini jualannya merosot akibat saingan sengit dari kereta-kereta import.
Penguasaan pasarannya merosot daripada 60 peratus pada 2002 kepada 48 peratus pada tahun 2003 dan 44 peratus pada 2004.

