Paling Popular
Terkini
story images
story images

Ketika penolakan rakyat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, dilihat berterusan Pemuda Amanah Terengganu tampil mencadangkan agar Nurul Izzah Anwar dilantik menggantikan senator terbabit.

Ketuanya Mohd Hasbie Muda berkata ketika ini penolakan rakyat terhadap Waythamoorthy sukar untuk dipertahankan lagi.

Justeru katanya pemimpin Parti Hindraf Malaysia itu perlu ditukar dan pengganti yang sesuai kini ialah anggota parlimen Permatang Pauh berkenaan.

"Nurul Izzah adalah wajah segar dalam politik negara. Beliau pemimpin muda yang mengambil pendekatan sederhana dan memahami kerencaman masyarakat.

"Beliau terbukti diterima di kawasan parlimen majoriti Melayu di Permatang Pauh serta kerusi majoriti campuran di Lembah Pantai sebelum ini, " katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu gesaan supaya Waythamoorthy meletakkan jawatan semakin kuat susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib, 24, meninggal dunia Isnin lalu selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa susulan kecederaan akibat dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 Nov lalu.

Rehatkan senator

Waythamoorthy didakwa memburukkan keadaan apabila beliau dan tiga menteri yang lain dalam satu sidang media menyalahkan polis yang membuat kenyataan mengaitkan insiden berkenaan dengan pergaduhan antara "dua kumpulan India".

Kempen petisyen di media sosial yang menggesa Waythamoorthy meletakkan jawatan sudah mendapat 300,000 tandatangan.

Malam tadi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran bahawa beliau berpuas hati dengan prestasi Waythamoorthy sebagai menteri yang ditugaskan untuk mengurus hal-hal perpaduan.

Beliau juga berkata terpulang kepada dirinya untuk memutuskan sama ada Waythamoorthy akan dipecat atau tidak.

"Orang ramai boleh menyatakan pendapat mereka, tapi terserah kepada saya untuk putuskan," katanya.

Sementara itu Mohd Hasbie berkata, walaupun perdana menteri memiliki sebab yang kukuh sewaktu melantik Waythamoorthy selaku menteri sebelum ini, keberkesanan beliau dalam menjalankan tugas jelas dipertikaikan secara konsisten dan berterusan oleh netizen.

"Saya percaya bahawa sebagai sebuah kerajaan yang mendengar suara rakyat, keputusan segera perlu dibuat untuk merehatkan Waythamoorthy," jelasnya.

Lihat Komen
ADS