Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pelantikan Pengerusi PKR Kelantan, Mohamad Suparadi Md Noor terus mendapat bantahan daripada ahli akar umbi negeri itu.

Naib Ketua PKR Cabang Ketereh, Mohd Sukirman Mustafa, berkata ketika bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail bertegas bahawa parti itu menolak kemasukan pimpinan Umno keadaan sebaliknya berlaku di Kelantan.

Kata Mohd Sukirman, ketika sepatutnya ada tokoh lain yang layak memimpin PKR di Kelantan, kepimpinan tertinggi parti itu melantik orang Umno sebagai ketua.

"Dari segi moral, ia sangat tidak baik untuk PKR sebab kita sebuah parti reformasi yang berjuang menolak ketirisan dan rasuah.

"Justeru kami mohon presiden PKR Anwar Ibrahim membuat kajian dan penilaian semula terhadap pelantikan ini," katanya.

Menurut Mohd Sukirman pertimbangan Anwar tersebut diperlukan demi kebaikan PKR terutama di Kelantan.

Mohd Sukirman berkata demikian semasa mengadakan sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Apa kan daya dah terjadi

Hadir sama lebih 60 wakil dari 14 cabang PKR Kelantan.

Selepas dilantik menjadi Presiden PKR, Anwar menyusun kepemimpinan parti di peringkat negeri dengan melantik tokoh yang dirasakannya sesuai menggalas tugas tersebut.

Bagaimanapun langkah itu tidak disambut dengan positif di beberapa negeri, termasuk di Kelantan dan Johor.

Untuk Kelantan Anwar memilih Mohamad Suparadi yang juga bekas ketua penerangan Umno Kelantan.

Kini menjadi pengerusi Tekun Nasional, keanggotaan Mohamad Suparadi dalam Umno sebelum ini didakwa digantung kerana tuduhan terbabit dalam amalan politik wang.

Bantahan terhadap pilihan Anwar itu turut disuarakan bekas pemimpin pusat PKR, Latheefa Koya.

Antara pemimpin cabang yang hadir di sidang media di Kota Bharu hari ini

"Sehingga September 2018 Umno Tanah Merah mengesahkan Mohamad Suparadi masih ahli Umno dan digantung atas tuduhan politik wang," katanya.

Bagaimanapun Mohamad Suparadi menafikan hal itu dan menegaskan keahlian Umno beliau secara automatik tergugur selepas menyertai PKR.

Sementara itu, Mohd Sukirman berkata, PKR juga membantah kemasukan beramai-ramai bekas pimpinan Umno ke parti itu khususnya menjelang pemilihan baru-baru ini.

"Kita nak respons kepada kenyataan bekas presiden (Wan Azizah) baru-baru ini menyatakan parti ini tak terima pemimpin Umno.

"Tetapi kita kesal dan risau wujud bayangan Umno khususnya apabila budaya ini masuk ke PKR khususnya di Kelantan.

"Ia memang tidak sepatutnya bermula dari awal, tetapi apakan daya ia sudah berlaku," katanya.

Sementara itu bekas calon PKR parlimen Pasir Mas, Che Ujang Che Daud, berkata kemasukan orang Umno dalam PKR memporak-perandakan parti itu di Kelantan dan Malaysia.

"Mereka masuk atas kebenaran pimpinan atasan. Kami orang lama dalam PKR Kelantan diketepikan terutama bekas pengerusi negeri, Ab Aziz Ab Kadir.

"Beliau sudah bertahun-tahun memimpin Kelantan, sebaliknya diketepikan begitu saja malah diangkat pula bekas pemimpin Umno" jelasnya.

Lihat Komen
ADS