Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berkongsi meja makan eratkan perpaduan kaum
Diterbitkan:  Dec 20, 2018 1:59 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

“Masalah kita ini cuma satu, semua orang sibuk dengan hal masing-masing. Tak mahu bercakap. Macam mana nak rapat? ” luah seorang lelaki warga emas kepada penulis ketika duduk semeja untuk sarapan beberapa hari lalu.

Beliau yang memperkenalkan diri sebagai Pak Syukur itu berkata gaya hidup masyarakat masa kini menjadikan mereka lebih seronok menikmati dunia internet lebih daripada menikmati ‘hidup’ di dunia sebenar.

Sambil menikmati mi kari dari Warung Ah Kow di Medan Selera Jalan Raja Muda Musa, Kampung Bharu, Pak Syukur terus berceloteh tanpa memperdulikan orang di sekeliling kami.

“Contohnya bila masuk tempat makan macam di sini (medan selera), kalau datang seorang diri apa salahnya berkongsi meja dengan orang lain yang makan seorang diri juga. Bagilah orang yang datang berkumpulan makan semeja…”

Bagi beliau duduk semeja adalah cara yang baik untuk mencetuskan titik mula perbualan bersama orang yang tidak dikenali. Melalui perbualanlah kemesraan terbentuk seterusnya mengeratkan hubungan sesama warga masyarakat.

Berkongsi meja dengan orang yang tidak dikenali nampaknya bukanlah satu perkara yang asing bagi kebanyakan pengunjung medan selera ini. Mereka tidak kekok berkongsi meja dan makan bersama walaupun berbeza bangsa, warna kulit, budaya, agama atau bahasa.

Cerita Pak Syukur lagi, hubungan antara kaum di negara inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik berbanding negara-negara lain di dunia. Hubungan harmoni silang budaya di negara ini yang terbina sekian lama juga adalah nilai yang harus digenggam erat, dipupuk dan dibelai generasi hari ini dan akan datang.

Bagi penulis, kata-kata Pak Syukur itu memang ada kebenarannya.

Sejak beberapa tahun menjadi pengunjung setia medan selera ini, penulis berpeluang belajar ilmu-ilmu jalanan melalui pengalaman orang lain. Semuanya didapati hanya berbekalkan tabiat suka berkongsi meja dengan pengunjung lain.

Antara kisah yang sentiasa segara dalam minda penulis salah pesanan pakcik Tambirajh tentang pengurusan keluarga, wang dan emosi. Tambirajh yang bekerja sebagai pemandu lori berkongsi kisah bagaimana beliau menguruskan pendapatannya yang tidak seberapa untuk memberikan keluarganya kehidupan selesa.

Selain itu kisah pasangan Wong tentang pendidikan anak juga sentiasa terngiang-ngiang di telinga penulis.

Menurut mereka, apa yang penting bukanlah tahap ketinggian sijil akademik tetapi keseimbangan antara perkembangan akademik dengan emosi utama agar anak-anak tidak kehilangan elemen manusiawi dalam diri mereka.

Mendengar sendiri perkongsian sekumpulan jururawat lelaki Hospital Kuala Lumpur tentang tanggung jawab anak terhadap ibu bapa yang terlantar di hospital pula menjadikan penulis mencermin kembali cara penulis melayan ibu bapa sendiri.

Pernah juga penulis dapat peluang duduk dengan bekas pemabuk yang menceritakan pengalaman hidupnya yang hanyut dengan kesenangan wang sehingga merosakkan diri dan hubungan beliau dengan keluarga.

Kesimpulannya, penulis dapat mengenal dengan lebih dalam lapis-lapis masyarakat Malaysia bukan hanya pada yang berbeza bangsa dan agama bahkan bagi yang sebangsa pun, hubungan baik dapat dipupuk juga.

Mungkin ada yang tanya kenapa suasana harmoni di sini boleh hidup mekar sejak hampir 50 tahun lalu? Jawapan yang boleh penulis beri adalah susunan warung di sini sendiri menyumbang kepada keharmonian budaya.

Yang paling penulis gemari di sini adalah satu sudut di mana letaknya tiga gerai makanan Melayu, Cina dan India saling sebelah-menyebelah.

Kedai Makan Kasim menjual makanan tradisi India seperti tose, puri, vadai dan uttapam. Gerai Ah Kow sudah bertapak di sini sejak 47 tahun lalu terkenal dengan hidangan Nasi Ayam Hainan dan Mi Kari Laksanya manakala warung ‘Asam Pedas Pak Aji’ pula menyajikan selera Melayu seperti Nasi Lemak, Asam Pedas dan nasi berlauk.

Hubungan rapat antara ketiga-tiga warung ini dapat dilihat apabila mereka tidak lokek untuk membantu pelanggan membuat pesanan makanan di warung lain.

“Anne, kasi abang ini tose rawa satu,” kedengaran suara Ishak Kasim, pemilik gerai Asam Pedas Pak Aji memesan makanan bagi pelanggan yang datang ke gerainya.

Tidak lama selepas itu kedengaran pula suara Ng Soon Lee, 41 membuat pesanan nasi lemak kepada Ishak bagi pihak pelanggan yang duduk di kawasan warungnya.

Satu lagi tempat pilihan penulis untuk makan sambil menikmati semangat perpaduan Malaysia adalah di Medan Selera Tanglin yang terletak di Jalan Cenderasari berhampiran Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Senario di kedua-dua medan selera ini memang serupa. Masyarakat berbilang kaum datang makan bersama, berkongsi meja, saling berkenalan dan berbual mesera sambil menikmati hidangan di depan mata.

Di waktu pagi, masyarakat berbilang kaum sanggup beratur panjang untuk menikmati hidangan nasi lemak yang terkenal di warung Nasi Lemak Tanglin.

Pada waktu tengah hari pula, sekali lagi medan selera ini menjadi tumpuan bagi penggemar ikan bakar di warung Ikan Bakar Pak Din.

Memandangkan ruang tempat duduk di sini yang agak terhad, pengunjung yang biasa datang ke sini tidak kekok untuk berkongsi meja makan bersama orang yang tidak dikenali.

Sambil menikmati alunan irama Melayu klasik dendangan pemuzik ‘busker’, pengunjung Melayu, Cina dan India berbual mesra sambil menikmati hidangan masing-masing.

“Suasana di sini membuatkan saya senang hati. Makanan pun sedap,” kata Yap Bee Hua, seorang eksekutif pemasaran di syarikat swasta.

Pastinya walaupun hanya makan di gerai, suasana penuh harmoni ini boleh menjadi antara medan penyatuan terbaik masyarakat berbilang kaum di negara ini di samping di stadium bolasepak atau arena sukan yang lain!

--Bernama

Lihat Komen
ADS