Mohamad Hasan berkata beliau yakin kekalutan yang melanda Umno susulan sejumlah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti telah selesai selepas Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan untuk "berehat".
Timbalan presiden Umno yang menjalankan tugas presiden itu berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan anggota parlimen Umno dan yakin mereka akan terus kekal dengan parti.
"Saya sudah berjumpa dengan anggota-anggota parlimen (Umno), daripada percakapan (ketika berbincang) mereka sudah berpuas hati (dengan keadaan parti).
"Mereka selesa dengan keputusan kepimpinan sekarang," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir adalah dua Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Khaled Nordin.
Ahmad Zahid pada 18 Dis lalu mengumumkan keputusannya untuk menyerahkan tugas-tugas presiden kepada Mohamad berkuat kuasa serta merta.
Jelasnya, keputusan itu diambil bagi menyelamatkan Umno daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.
“Jika benar saya menjadi punca utama (kepada lompat parti), maka keputusan yang saya lakukan adalah kaedah sebaik-baiknya untuk saya berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas presiden," katanya.

Daripada 54 kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-14, Umno kini tinggal 36 anggota parlimen.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini mengesahkan surat penyerahan tugas Ahmad Zahid kepadanya.
Ini merupakan sidang media pertama beliau sebagai pemangku presiden.
Autonomi untuk Umno Sabah
Beliau menyebut tentang pemerkasaan Umno dan penstrukturan semula pentadbiran parti dan strategi menuju PRU ke-15.
"Umno mengambil ketetapan untuk menjadi jurucakap rakyat, kita menjuarai apa saja isu-isu rakyat termasuk kejatuhan harga komoditi.
"Kita juga akan susun dan struktur semula operasi Umno...untuk bagi kuasa lebih banyak kepada negeri-negeri. Kerana di setiap negeri pastinya berbeza, strategi Umno Kelantan misalnya pasti berbeza dengan Umno Johor," katanya.
Malah, katanya lagi, MT turut bersetuju untuk memberi autonomi penuh kepada Umno Sabah.
Mohamad turut mengulangi pendirian Ahmad Zahid yang menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Adib meninggal dunia pada 17 Disember lalu selepas cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya awal November lalu.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata polis akan mengeluarkan laporan lengkap forensik dalam masa beberapa hari lagi.
