Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pertubuhan masyarakat sivil hilang sentuhan selepas PRU14'

Pertubuhan masyarakat sivil 'kehilangan sentuhan' selepas pilihan raya umum ke-14 apabila memilih untuk bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan dan meninggalkan 'mod pembangkang'.

Perkara itu dinyatakan dalam satu forum malam tadi bagi membincangkan konsyensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang masih belum diratifikasi.

"Saya fikir peristiwa-peristiwa baru-baru ini - khususnya kontroversi mengenai Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), yang membawa kepada perhimpunan (anti-Icerd pada 8 Disember) - menunjukkan bahawa masyarakat madani mungkin telah meninggalkan apa yang disebut 'mod pembangkang.'

"Kita mahu bekerjasama dengan kerajaan, dan kita tidak berani terlalu kuat (menentangnya)," kata perunding program Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Eugene Yapp.

Yapp berkata beberapa pertubuhan masyarakat sivil mahu menangkis hujah umum terhadap Icerd, tetapi "dinasihatkan" bahawa ia boleh menyebabkan ketegangan kaum, dan mungkin membawa kepada pengulangan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

"Jadi kita tarik diri dan kata bahawa kita tidak sepatutnya terlalu agresif," katanya.

Beliau berkata organisasi-organisasi ini membuat keputusan untuk menyerahkan kepada kerajaan bagi mengendalikan perkara itu.

Sementara itu peguam Syahredzan Johan berkata pertubuhan masyarakat sivil gagal melawan naratif bahawa Icerd bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mengancam kedudukan istimewa kaum bumiputera.

"Saya juga menyalahkan masyarakat sivil kerana, jika kita berkata kita memperjuangkan Icerd, maka kita harus menggunakan peluang ini untuk meneruskannya.

"Tetapi kita biarkannya berlalu dan kita kehilangan naratif itu," katanya.

Setiausaha politik kepada pemimpin DAP Lim Kit Siang itu menegaskan bahawa terdapat usaha bersepadu untuk menentang konvensyen itu dengan menimbulkan sentimen perkauman, yang mana tidak ditangani kerajaan dan kumpulan sivil.

"Orang pertama yang membangkitkan masalah kurangnya keserasian antara Icerd dan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan adalah Anggota Parlimen Rembau dari BN Khairy Jamaluddin, yang merupakan orang yang sangat licik kerana selepas itu, beliau tidak terlibat sama sekali untuk membahaskan isu itu dan perhimpunan 8 Dis.

"Kemudian, bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad menulis sebuah artikel dalam bahasa Malaysia yang mengatakan bahawa Icerd tidak sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita tidak nampak apa-apa maklum balas daripada kerajaan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS