Malaysiakini
BERITA

Tsunami: Kematian cecah 168, lebih 700 cedera

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Dis 2018, 9:23 pagi

GLOBAL | Jumlah korban bencana tsunami yang melanda Selat Sunda di antara pulau Jawa dan sumatera pada malam Sabtu lalu kini mencecah 168 orang, manakala 745 lagi cedera.

Angka itu meningkat daripada 43 korban dan 584 yang cedera seperti dilaporkan pagi tadi.

Ia disahkan jurucakap Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho, seperti dipetik Channel News Asia.

Sejumlah 30 lagi dilaporkan hilang, kata Nugroho lagi.

"Kami sedang meneliti laporan kesan daripada tsunami yang melanda Selat Sunda, terutama Serang, Pandeglang dan Lampung Selatan," katanya seperti dipetik.

Terdahulu, Bernama melaporkan tsunami tersebut dipercayai berlaku akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau.

Laporan itu turut memetik Sutopo Purwo berkata tsunami berlaku sekitar jam 9.27 malam tadi (Waktu Malaysia 10.57 malam) dan pihak berkuasa Indonesia masih menyelidik punca berlakunya tsunami itu.

"Faktor penyebab tsunami masih dalam penyelidikan oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) untuk mengetahui secara pasti.

"Kemungkinan disebabkan berlaku pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau dan berlaku gombang air pasang dan kombinasi itu menyebabkan berlakunya tsunami secara tiba tiba," katanya, petik Bernama.

Sutopo berkata pihak berkuasa Indonesia terdiri daripada BNPB, tentera, polis dan agensi-agensi berkaitan sedang menangani situasi itu.

"Jalan raya yang menghubungkan Serang-Pandeglang terputus akibat tsunami. Jumlah korban juga dikhuatiri meningkat," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.