Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi minta k'jaan guna formula mingguan semak harga minyak

ULASAN | Harga minyak mentah jatuh mendadak minggu ini. Saya telah menyuarakan minggu lepas bahawa keadaan harga minyak mentah yang jatuh mendadak memerlukan formula harga siling yang ditetapkan disemak.

Saya dimaklumkan perbezaan (kiraan Kerajaan Persekutuan berbanding kiraan saya) berlaku akibat semakan yang berbeza: Kerajaan Persekutuan menyemak mengikut bulan, sementara saya mengikuti semakan mingguan.

Saya telah menulis kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar semakan harga mengikut formula wajar dibuat mengikut minggu, agar harga yang dibayar rakyat cepat diselaraskan dengan harga semasa minyak mentah dunia.

Surat saya kepada saudara Lim Guan Eng adalah seperti di bawah ini:

Saya mengikut kenyataan-kenyataan saudara mengenai perkembangan harga minyak mentah dunia yang jatuh menjunam serta kesannya kepada rakyat dan kewangan negara. Saya juga ada berbincang secara berterusan dengan Menteri KPDNHEP Saifuddin Nasution Ismail, mengenai penetapan harga petrol dan diesel.

Daripada kenyataan saudara seperti yang dilaporkan pada hari ini, saya difahamkan bahawa Kerajaan Persekutuan memantau harga minyak mengikut formula APM (Automatic Pricing Mechanism) secara bulanan; iaitu harga minyak dunia dalam bulan Disember hanya akan mempengaruhi formula harga minyak RON95 dan diesel bagi bulan Januari.

Saya memahami kaedah ini sesuai dalam beberapa bulan yang lalu iaitu ketika harga minyak mentah dunia naik melonjak. 

Dalam keadaan harga mentah dunia tinggi, Kerajaan Persekutuan menyediakan subsidi untuk mengekalkan harga pada kadar RM2.20 seliter bagi RON95.


Baca berita berkaitan: Belanjawan 2019 disemak jika harga minyak mentah susut - Lim


Selagi harga minyak mentah dunia kekal tinggi, maka pengiraan formula hanyalah untuk menentukan berapa subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan kerana harga yang dibayar oleh rakyat adalah lebih rendah dari harga formula.

Walau bagaimana pun, sejak beberapa minggu yang lalu, harga minyak mentah dunia mengalami penurunan mendadak, terutamanya minggu ini.

Rakyat sudah terbiasa dengan pengiraan mengikut minggu seperti yang ditinggalkan oleh pentadbiran Najib Razak. Malah, rakyat tidak tahu pun bahawa Kerajaan Persekutuan kini menyemak harga mengikut formula secara bulanan (atas sebab-sebab yang saya sebut di atas).

Mengikut formula, harga RON95 sejak beberapa minggu yang lalu telah jatuh di bawah paras RM2.20 seliter, seperti jadual kiraan mingguan di bawah:

Oleh kerana kiraan Kerajaan Persekutuan menggunakan rujukan harga bulanan purata bagi November 2018 untuk menetapkan harga RON95 bagi Disember 2018, kiraan Kerajaan Persekutuan akan menunjukkan harga mengikut formula APM masih lagi lebih tinggi dari harga RM2.20 seliter yang ditetapkan.

Saya secara konsisten telah menyuarakan pandangan bahawa kaedah terbaik dan yang paling adil untuk mengelakkan rakyat dari membayar harga minyak yang lebih tinggi dari harga pasaran adalah seperti berikut:

  • Memastikan ada subsidi untuk melindungi rakyat dari harga minyak mentah dunia yang naik melambung, iaitu dengan menetapkan harga siling. Apa-apa harga formula yang lebih tinggi dari harga siling, Kerajaan Persekutuan perlu membayar subsidi untuk mengekalkan harga pada harga siling.
  • Menyemak harga mengikut formula secara mingguan untuk memastikan jika ada kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia, rakyat akan menikmati penjimatan serta-merta.

Kerajaan Persekutuan telah pun melaksanakan langkah (i) dan harga siling telah ditetapkan pada harga RM2.20 seliter. Walau bagaimana pun, semakan harga mengikut formula adalah mengikut bulanan pada ketika ini (disebabkan keadaan harga minyak mentah pasaran sebelum ini).

Oleh itu, untuk memastikan harga yang dibayar rakyat melambangkan keadaan pasaran semasa harga minyak mentah, saya memohon supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menyemak harga mengikut formula secara mingguan.

Ini akan membolehkan harga RON95 menyaksikan penurunan 20 sen untuk beberapa minggu akan datang.


RAFIZI RAMLI merupakan pengasas Invoke Malaysia dan bekas naib presiden PKR.

Tulisan ini tidak semstinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS