story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Anak Krakatau meletus lagi: Amaran waspada tsunami
Diterbitkan:  Dec 24, 2018 7:54 AM
Dikemaskini: Dec 24, 2018 7:43 AM

Peringatan kepada orang ramai yang tinggal di kawasan pantai di Selat Sunda diminta supaya menjauhi kawasan pantai kerana dibimbangi mungkin terdapat "tsunami susulan" kerana gunung Anak Krakatau masih meletus lagi, maklum Ketua Pusat Data dan Informasi Badan Bencana Nasional Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

"Saranan daripada Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia bahawa orang ramai dilarang melakukan kegiatan di tepi pantai dan menjauhi kawasan pesisir laut untuk sementara waktu," katanya, lapor BBC.

Pada Sabtu malam 22 Disember lalu, tsunami yang melanda Selat Sunda antara pulau Jawa dan Sumatera mengorbankan 280 nyawa, lebih 800 orang tercedera dan jumlah korban mungkin bertambah.

Menurut pakar, gelombang besar itu kemungkinan besar berpunca daripada runtuhan bawah laut akibat peningkatan aktiviti Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda.

Gunung ini kembali meletus semalam, pada 23 Disember. Anak Krakatau terbentuk pada 1927 selepas letusan Gunung Krakatoa.

Menurut Detik.com, aktiviti Gunung Anak Krakatau terus meningkat sejak 18 Jun 2018. Bulan-bulan selanjutnya dari Julai hingga November, Anak Krakatau terus meletuskan lahar panas, abu dan serpihan bebatuan. Misalnya, di antara 3 hingga 4 Julai 2018, Anak Krakatau meletus sebanyak 227 kali.

Tsunami pertama tanpa gempa

Sementara itu, Kompas memetik Peneliti Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia, Nugroho Dwi Hananto berkata fenomena tsunami yang terjadi di Selat Sunda merupakan yang pertama kali terjadi di Indonesia. Katanya, ini disebabkan tsunami yang terjadi tanpa didahului gempa dan aktiviti tektonik.

"Tsunami ada tapi tidak besar, tidak ada gunung berapi yang besar, tidak ada juga angin ribut yang besar atau taufan yang besar. Jadi semuanya seperti biasa-biasa saja tapi tiba-tiba air naik dan naik lagi dengan kekuatan yang kuat.

"Menurut kami selama penelitian sepanjang pengetahuan kami, ini baru yang pertama kita alami," katanya.

Nugroho Dwi Hananto menduga tsunami di Selat Sunda terjadi kerana letupan Gunung Anak Krakatau mengakibatkan berlakunya runtuhan di bawah laut.

Jelasnya lagi, hal ini ditambah parah dengan fenomena air pasang besar sehingga menyebabkan gelombang mencapai dua hingga tiga meter yang melanda pesisir barat Banten hingga berimbas ke Lampung.

Lihat Komen
ADS