Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Erdogan, Trump bincang isu Syria
Diterbitkan:  Dec 24, 2018 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM

GLOBAL | Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, dan rakan sejawat beliau dari Amerika Syarikat (AS), Presiden Donald Trump, pada Ahad membincangkan isu Syria dalam satu perbualan telefon susulan pengunduran tentera darat AS dari Syria, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden Turki itu, Erdogan dan Trump bersetuju memastikan koordinasi diplomatik dan ketenteraan bagi mencegah kekosongan dari segi kewujudan pihak berkuasa susulan pengunduran AS dari Syria.

Erdogan turut melahirkan rasa puas hati dengan langkah yang diambil oleh Washington dalam isu memerangi keganasan di Syria, dan berkata Turki bersedia menghulurkan sebarang bantuan.

Erdogan berkata dalam akaun Twitter selepas rundingan itu bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju mempertingkat koordinasi dalam pelbagai isu, termasuk hubungan perdagangan dan perkembangan di Syria.

Pada 19 Disember lalu, Washington mengumumkan untuk mengundurkan tenteranya dari Syria selepas mendakwa meraih kemenangan dalam perjuangan menentang kumpulan militan Daesh tanpa mendedahkan sebarang butiran terperinci.

Susulan langkah AS itu, Erdogan pada Jumaat berkata Turki telah memutuskan untuk menangguhkan operasi rentas sempadannya di kawasan yang dikuasai militia Kurdish di utara Syria.

- Bernama

Lihat Komen
ADS