Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Popularkan Perang Dunia II mula di Kelantan - Husam

Dari segi fakta sejarah, perang meletus bukan di Pearl Harbour, kata Senator Husam Musa. 

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan itu berkata, ia bermula dengan pendaratan Jepun di Pantai Kuala Pak Amat, Kelantan dan hakikat sejarah ini belum dikomersialkan dalam perspektif sejarah dan pelancongan.

"Dan kita (akan) menggagaskan satu program yang komprehensif untuk menjadikan Kelantan sebagai world class memorial for world war II, InsyaAllah perkara ini akan diuruskan oleh Profesor Dr Harun Daud.

"Dalam perbincangan kita (hari ini), kita tidak menghadkan kepada pendaratan Jepun semata-mata tetapi kita luaskan lagi kepada Perang Dunia II dan lebih luas skopnya.

"Oleh kerana Perang Dunia II adalah sejarah sangat penting dan ia bermula di negeri Kelantan cadangan kita adalah dengan mengadakan satu program ikon yang bertaraf dunia," katanya pada sidang media selepas hadir ke mesyuarat jawatankuasa pelancongan, seni dan budaya Malaysia, Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebudayaan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud.

Husam berkata, dalam usaha menarik kemasukan pelancong ke Kelantan salah satu caranya adalah dengan mengambil suatu fenomena yang memberi kesan kepada seluruh dunia.

Pendaratan Jepun peristiwa penting

Justeru katanya, Perang Dunia Kedua II salah satu peristiwa memberi kesan dan melibatkan banyak negara dalam dunia.

"Oleh kerana itu ia sesuai digunakan sebagai tema program kita. Pendaratan Jepun adalah peristiwa penting dalam konteks Tanah Melayu sendiri, tetapi diabaikan dari segi sejarah dan kita juga membincangkan peranan Jepun selepas Perang Dunia II.

"Dari segi kemajuan teknologi, kelebihan budaya dan pencapaian-pencapaian lain. Semua ini kita nak ditempatkan dan dipamerkan supaya budaya-budaya baik orang Jepun dapat dipelajari oleh rakyat Malaysia," katanya.

Tambah beliau, selama Malaysia mempunyai Dasar Pandang Ke Timur, belum diwujudkan satu pusat sejarah Jepun yang komprehensif.

"Tidak semua orang boleh pergi ke Jepun untuk melihat Jepun sebagai satu model. Yang dihantar belajar ke Jepun bernasib baik, tapi bagi yang belum sampai ke Jepun dia tak tahu apa itu Jepun.

"Bagaimana orang Jepun makan, pelihara binatang, bertani, dan bagaimana Jepun mempunyai budaya yang positif.

"Ini kita berharap dengan kerjasama kerajaan Malaysia dan Jepun, kita adakan satu pusat tamadun Jepun di Kelantan sempena dengan pendaratan Jepun di negeri ini pada masa lalu," jelasnya.

Pertempuran Kota Bharu dilupakan

Sementara itu, bekas exco kerajaan negeri itu berkata, pihaknya kini menubuhkan tiga jawatankuasa kecil melalui jawatankuasa belia, sukan, pelancongan dan seni budaya dalam usaha memajukan sektor pelancongan di Kelantan.

Menurut Husam, tiga jawatankuasa kecil itu ditubuhkan sebagai penggerak rancangan pelancongan eco-tourism, yang dipengerusikan bekas pengurus besar Tourism Negeri Melaka, IR Ahmad Thambi Kadir.

"Dua jawatankuasa lagi ialah jawatankuasa warisan akan dipengerusikan oleh Profesor Dr Harun Daud. Antara cadangan untuk jawatankuasa ini ialah perkenalkan Kelantan sebagai pusat koleksi muzium dan yang berkaitan dengan Perang Dunia II dan jawatankuasa ketiga pula ialah jawatankuasa fotografi pelancongan, " katanya.

Untuk rekod, Pearl Harbor di Hawaii diserang pada 7 Disember 1941 waktu tempatan (Hawaii), manakala pendaratan Jepun di Kelantan berlaku pada 8 Disember 1941 waktu (Tanah Melayu). Terdapat perbezaan waktu antara waktu Malaya dengan waktu Hawaii ketika itu. Pada masa ini, Malaysia mendahului Hawaii selama 18 jam.

Menurut suatu laporan akhbar Japan Times pertempuran di Kota Bharu terjadi sebelum Perang Pasifik meletus.

"Pertempuran Kota Bharu berlaku sebelum serangan Jepun terhadap Pearl Harbor dan sebelum bermulanya Perang Pasifik.

"Tetapi sementara serangan terhadap Pearl Harbor menjadi terkenal dan menjadi upacara sambutan tahunan, serangan terhadap Kota Bharu kurang diketahui dan umumnya dilupakan," kata laporan itu yang terbit pada 2009.

Lihat Komen
ADS