Paling Popular
Terkini

Pengajaran agama dan pendidikan moral di sekolah rendah tidak boleh dikompromi kerana subjek itu berperanan dalam membentuk jati diri dan nilai murni dalam diri murid, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya rombakan jumlah waktu ingin dilakukan terhadap subjek tersebut, maka aspek praktikal dalam proses pengajarannya perlulah ditingkatkan.

“Ibu bapa sekarang (banyak yang) sibuk dengan kerjaya, jadi dia mahu anak-anak di sekolah rendah mesti ada fokus kepada nilai-nilai murni. Nilai murni paling banyak (diajar) dalam bidang moral dan keagamaan.

“Jadi, jika subjek agama itu banyak teori, kita boleh kurangkan teori dan lebihkan kepada praktikal. Kalau mahu kurangkan masa tetapi lebihkan praktikal, maka saya setuju (kurangkan masa),” katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut perlulah dikaji secara mendalam melibatkan pakar daripada kementerian pendidikan dan juga di peringkat akar umbi seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 22 Dis agar kurikulum sekolah kebangsaan diubah suai agar rakyat Malaysia dapat maju dalam setiap bidang.

Kata Dr Mahathir, pengubahsuaian boleh dilakukan dengan memberi lebih masa kepada mata pelajaran yang ‘berguna’ dan tidak bertumpu kepada pembelajaran agama semata-mata.

Untuk rekod, mata pelajaran agama dan moral untuk murid tahap satu sekolah kebangsaan (SK) mengambil masa minimum 96 jam setahun (campur 32 jam untuk tasmik bagi pendidikan agama), manakala untuk sekolah jenis kebangsaan (SJK) mengambil masa 64 jam (campur 32 jam untuk tasmik bagi pendidikan agama).

Bagi tahap dua pula, masa yang diperuntukkan ialah 96 jam setahun untuk SK (campur 32 jam untuk tasmik bagi pendidikan agama) dan 80 jam untuk SJK (campur 32 jam untuk tasmik bagi pendidikan agama).

Tasmik adalah salah satu model di bawah program j-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab, dan Fardu Ain) bagi membimbing dan merekod perkembangan Iqra’ dan bacaan al-Quran murid secara individu bagi membolehkan murid khatam al-Quran semasa berada di sekolah rendah. Ia dilaksanakan di luar jadual waktu.

Beri penekanan cara pengajaran

Turut berkongsi pandangan yang sama dengan Kamarozaman, pensyarah psikologi pendidikan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Nurulhuda Md Hassan berpendapat, bukan soal jumlah masa yang perlu diberi penekanan dalam pengubahsuaian kurikulum melibatkan subjek pendidikan Islam, tetapi cara pengajaran.

“Bukan untuk subjek pendidikan Islam sahaja, tetapi mana-mana subjek pun, pelajar kita diajar untuk mengingat fakta dan untuk lulus peperiksaan, (sedangkan) pembelajaran bukan hanya tentang itu. [...] Penekanan sepatutnya diberikan kepada pemahaman tentang agama supaya dia mempraktikkan apa yang diajar,” katanya lagi.

Tekanan kepada murid

Dalam perkembangan berkaitan, Kamarozaman berpendapat pengubahsuaian kurikulum sekolah kebangsaan boleh dilaksanakan dengan menyepadukan beberapa mata pelajaran yang berkaitan.

Katanya, mata pelajaran yang terlalu banyak akan memakan banyak waktu dan memberi tekanan kepada murid-murid.

“Contohnya dulu, kita dah gabungkan pendidikan seni visual dengan pendidikan muzik. Cuma masih ada lagi waktu dan subjek seperti Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), dia boleh disepadukan (dengan subjek lain yang berkaitan),” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang keluhan Dr Mahathir tentang ‘kemerosotan’ mutu sekolah, Kamarozaman berkata perkara itu antara lain disebabkan guru terganggu dengan terlalu banyak kerja yang ‘tidak relevan’ sehingga mengganggu fokus mereka untuk mengajar.

Bagaimanapun, katanya, hal itu telah pun dibawa dalam perbincangan dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik agar beban tugas guru dapat dikurangkan mulai tahun hadapan.

“NUTP telah berbicang dengan menteri [...] Pihak kerajaan sedang melakukan libat urus dengan NUTP, (berbincang) bagaimana pada 2019 dapat kita kurangkan kerja-kerja tak relevan itu,” tambahnya lagi. 

Lihat Komen
ADS