Halim Saad nafi songlap RM32.5 juta
Ahli perniagaan terkemuka Tan Sri Halim Saad menafikan yang beliau dan bekas rakan niaganya Datuk Anuar Othman telah melenyapkan RM32.5 juta daripada seorang pengusaha tol.
Halim juga menafikan yang mereka mendapat naungan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, yang dikatakan berkomplot dengan mereka untuk menekan sebuah syarikat pembinaan yang dianugerahkan kira-kira RM65 juta oleh Mahkamah Rayuan pada hari Khamis. Jumlah itu sebagai pampasan bagi kerugian hak pengiklanan dalam satu saman terhadap Metramac Corporation Sdn Bhd mengenai penswastaan beberapa jalan di ibunegara.
"Saya telah berdiam selama ini kerana perkara itu menunggu rayuan. Tetapi cara penghakiman dan komen daripada media telah membuatkan saya perlu untuk memberikan reaksi dengan membuat kenyataan ini," katanya sebagai respons terhadap liputan media dan komen orang ramai mengenai penghakiman itu.
Hakim Datuk Gopal Sri Ram (gambar) dalam penghakimannya juga memerintahkan Metramac membayar Fawziah Holdings Sdn Bhd semua hasil kutipan yang akan diterima di bawah projek masa depan.
Menurut Bernama, Halim - yang menjelaskan kenapa beliau mengambil "tindakan luar biasa ini" melalui kenyataan sembilan muka - berkata penghakiman itu telah menjejaskannya "mungkin dalam cara yang tidak akan dapat diperbaiki lagi."
"Saya tidak diberikan asas keadilan semulajadi dan hak asasi manusia yang yang telah diiktiraf sejak berzaman lagi. Saya mempunyai kepentingan perniagaan di dalam dan luar negara," katanya.
Halim dalam kenyataannya turut melampirkan sepucuk surat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bertarikh 13 Februari 1992 yang menyatakan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar balik Metro Juara Sdn Bhd atau dikenali sebagai Metramac ketika itu - syarikat milik Halim dan Anuar - sebanyak RM32.5 juta kerana jumlah itu tidak diambil kira oleh kerajaan dalam menentukan pulangan projek itu di bawah perjanjian konsesi.
"Wang itu milik kami secara peribadi kerana kami mengeluarkan jumlah itu pada awalnya dari poket kami sendiri. Tidak payah fikir panjang yang wang ini memang milik Metramac. Jadi di manakah penyelewengannya, jenayah atau sebaliknya? Inilah yang dijelaskan oleh peguam Metramac dalam intipatinya kepada mahkamah. Kenapakah penjelasan itu tidak boleh difikirkan oleh mahkamah?" tanya Halim.
Perjanjian konsesi
Halim berkata pada 13 Februari 1992, Daim bukan lagi Menteri Kewangan kerana beliau meletakkan jawatan pada 14 Mac 1991.
"Tun Daim tidak terlibat dalam keputusan Kementerian Kerja Raya untuk membayar balik jumlah ini kepada kami. Hakim patut memberikan perhatian pengadilan mengenai tarikh peletakan jawatan Daim jika beliau mahu dilibatkan dalam perbincangan itu".
Halim berkata syarikatnya diperintahkan oleh kerajaan untuk mengambil alih Metramac memandangkan konsesi tol di Jalan Cheras telah dipolitikkan dan menimbulkan ketegangan dan kutipan tol digantung pada 12 September 1990 berikutan satu demonstrasi di plaza tol itu.
Beliau menjelaskan bahawa perjanjian konsesi itu hampir gagal dengan kejadian itu dan Metro Juara diminta membeli saham Metramac mengikut nilai pasaran dicampur premium ke atasnya bagi amaun tambahan RM32.5 juta.
"Pendapat peribadi saya ketika itu ialah bahawa RM32.5 juta tidak wajar dibayar kepada pemegang saham sebelumnya. Tetapi kerajaan meminta kami membayar amaun itu dan kami hanya mampu membantah dalam diam," katanya.
Halim berkata jumlah RM32.5 juta yang sama itulah yang Kementerian Kerja Raya putuskan untuk dibayar balik kepada beliau dan rakan niaganya seperti dinyatakan dalam surat bertarikh 13 Februari 1992.
"Untuk makluman orang ramai, kami keberatan apabila kami diminta oleh kerajaan untuk mengambil alih sebuah syarikat yang menghadapi masalah serius dan tidak lagi mendapat sokongan bank. Tetapi, demi kepentingan awam, kerajaan tiada pilihan kecuali meneruskannya".
"Kami mengambil alih projek itu (dengan kerja tambahan lain) dan seluruh projek semakan itu dipakej semula untuk mencapai kadar pulangan dalaman yang akan mendapat sokongan bank. Kemungkinan kami dipilih kerana ketika itu rekod kami dalam Lebuhraya Utara Selatan telah terbukti," kata Halim.
Halim berkata beliau tahu bahawa keputusan untuk mereka mengambil alih Metramac dibuat oleh Kabinet selepas perbincangan mendalam dan selepas perjanjian semakan baru ditandatangani antara Metramac dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Kementerian Kerja Raya dan Perbendaharaan Persekutuan memantau setiap kemajuan dalam rundingan itu.
"Adalah penting untuk diingati bahawa ini bukannya pampasan kepada Metramac. Ia merupakan satu skim subsidi untuk melengkapkan dan membolehkan kerja tambahan itu dapat dilaksanakan oleh kerajaan dan Metramac daripada segi pembiayaannya.
"Untuk mencadangkan bahawa beberapa ratus juta itu dibayar sewenangnya kepada Metramac tanpa justifikasi adalah untuk mencemarkan nama kerajaan dan pegawainya (termasuk mereka dari Pejabat Peguam Negara) yang merundingkan perjanjian itu," katanya.
Projek penswastaan
Halim berkata semua bayaran yang diterima di bawah perjanjian semakan baru itu dan perjanjian akaun subsidi dikekalkan dalam Metramac dan dibayar balik mengikut perjanjian itu.
Beliau berkata tidak sesen pun peruntukan yang diterima berjumlah RM466.7 juta diambil beliau atau Anuar atau Metro Juara.
Halim berkata subsidi itu bukannya pembayaran sekaligus dan ia disalurkan setara dengan kemajuan berkadar kerja-kerja tambahan baru yang sedang disiapkan.
Beliau juga berkata dalam perjanjian akaun subsidi, satu akaun khas telah diwujudkan oleh kerajaan di mana wakil-wakil kerajaan dari Perbendaharaan Persekutuan bertindak sebagai penandatangan bersama terhadap semua akaun bank itu.
"Adakah ini berbunyi seperti rompakan di siang hari seperti yang dicadangkan dalam penghakiman itu?" tanya beliau.
Kes itu melibatkan Datuk Fawziah Abdul Karim dan ibunya Maimom Bee, yang merupakan pengarah dan pemegang saham Syarikat Teratai K.G. Sdn Bhd (STKG), kini dikenali sebagai Metramac.
Fawziah berjaya mendapatkan satu tender untuk merekabentuk, membina dan menjalankan operasi penswastaan sebilangan jalan termasuk di Jalan Cheras di sini yang kutipan tolnya kemudian digantung.
Hasilnya, pampasan sebanyak RM764 juta dibayar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tetapi hakim menyatakan Daim sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu memberitahu pemegang saham bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk membayar pampasan kepada mereka.
STKG kemudiannya dibeli oleh Metro Juara, milik Halim dan Anuar, pada kos RM97.5 juta.
Hakim berkata selepas transaksi itu, kerajaan tiba-tiba mendapat dana untuk membayar pampasan kepada Metro Juara.
Sri Ram berkata dalam penghakimannya: "Anda boleh bertanya bagaimana semua ini boleh berlaku tanpa penglibatan langsung Tun Daim. Juga tidak difahami kenapa defendan, yang ditubuhkan sebaik sebelum pengambilalihan oleh Metro Juara, tidak diberikan bantuan kewangan yang serupa oleh Kerajaan Persekutuan."
"Saya fikir ia soalan yang adil untuk bertanyakan kenapa wang orang ramai disalurkan ke tangan dua individu -- untuk menguntungkan mereka -- dan bukannya sebahagian besar orang awam".
Hakim itu berkata Halim dan Anuar telah melenyapkan RM32.5 juta daripada akaun defendan.