Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin bantah pengumuman jawatan lantikan PKR
Diterbitkan:  Dec 29, 2018 1:02 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menggesa presidennya Anwar Ibrahim menilai semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti yang diumumkan semalam.

Beliau berkata pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip "perwakilan yang adil dan saksama" terhadap aspirasi anggota parti.

"Pelantikan yang menyusul selepas pemilihan parti yang sengit perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.

"Pelantikan yang telah diumumkan tidak mencerminkan prinsip 'perwakilan yang adil dan saksama' terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan barisan jawatan lantikan parti itu yang menurutnya dibuat selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Antaranya Rafizi Ramli - yang tewas dalam pemilihan lalu - dilantik sebagai naib presiden dan Saifuddin Nasution Ismail dipilih semula sebagai setiausaha agung.

Difahamkan hanya tiga pemimpin yang jelas dikaitkan dengan Azmin yang hadir ke mesyuarat itu yang diadakan dengan pemberitahuan yang singkat.

Azmin dan sejumlah anggota MPP yang dikaitkan dengannya dipercayai sedang bercuti akhir tahun.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi berkata ada pelantikan yang dibuat bukan berdasarkan merit dan melibatkan mereka yang terkait dengan masalah ketika pemilihan parti.

"Setiausaha agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seorang yang profesional dan wibawa...(Dan) perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan.

"Begitu juga pelantikan MPP yang harus dibuat berdasarkan merti dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP," katanya lagi.

Justeru, kata Azmin, beliau akan sekali lagi membangkitkan perkara itu kepada Anwar dan berharap ia akan diberi perhatian secara serius.

Lihat Komen
ADS