Radzi: Semua pelarian Islam Thai dihantar pulang
Baki 130 masyarakat Islam Thai yang ditahan di Terengganu telah dibebaskan dan dihantar pulang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad hari ini.
Baki 130 masyarakat Islam Thai yang ditahan di Terengganu telah dibebaskan dan dihantar pulang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad hari ini.
"Tidak ada lagi isu. Semua sudah dihantar balik. Kedua-dua pihak, Malaysia dan Thailand gembira," katanya semasa diminta mengulas mengenai nasib rakyat Thai itu yang melarikan diri ke Kelantan pada Ogos tahun lepas.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis memeterai Triti Bantuan Bersama Undang-Undang Jenayah dengan Myanmar dan Thailand di Kuala Lumpur.
Menurut laporan Bernama, sejumlah 131 masyarakat Islam Thai melarikan diri ke Kelantan pada 30 Ogos tahun lepas bagi mengelak pergolakan di wilayah selatan Thailand.
Seorang daripada mereka, lelaki yang dikehendaki di Thailand, diserahkan kepada pihak berkuasa Thai oleh Malaysia awal bulan lepas.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu pemberita kemudian bahawa mereka dibebaskan akhir tahun lepas.
"Saya telah dimaklumkan mengenainya... saya mendapat pengesahan daripada rakan-rakan saya di pihak sana. Kami amat gembira," katanya.
Gani, bagaimanapun, tidak dapat memberikan butiran pembebasan itu.

