Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bodoh tak guna sumber k'jaan: Pemuda bantah kenyataan naib presiden

AGM BERSATU | Pemuda Bersatu membantah kenyataan naib presiden parti Ab Rashid Ab Rahman yang menyifatkan pandangan pihak yang tidak setuju dengan gesaan pemberian jawatan dan kontrak kepada anggota parti sebagai "bodoh".

Ketua penerangannya Ulya Aqamah Husamuddin berkata mereka percaya kenyataan Rashid itu tidak mencerminkan pandangan pimpinan tertinggi parti.

"Rashid berkata pemimpin bahagian perlu diberi tender dan kontrak dan bagaimana sumber kerajaan adalah unsur penting untuk mengukuhkan parti.

"Kami sebulat suara menolak dan mengecam kenyataan itu," katanya yang bercakap bagi pihak ketua pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketika sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 hari ini.

"Kami yakin kenyatannya tidak mewakili pimpinan parti jadi kami tampil untuk suarakan bantahan terhadapnya," katanya lagi.

Beliau juga mempertahankan pendirian pemuda bahawa kontrak dan tender perlu diberi berdasarkan merit, termasuk kepada anggota parti yang layak.

"Jangan bimbang tetapi kami tidak akan bertoleransi dan setuju terhadap penyalahgunaan kuasa atau pemberian kontrak berdasarkan rundingan terus kepada mana-mana pemimpin parti, dan kami akan menentangnya jika ia berlaku," katanya.

Turut hadir di sidang media itu adalah seluruh barisan exco pemuda Bersatu.

Syed Saddiq - yang mengecam gesaan perwakilan berhubung perkara itu ketika sesi penggulungan sebelum itu - tidak hadir kerana perlu beredar awal untuk ke hospital.

Ab Rashid Ab Rahman

Rashid berkata sukar untuk Bersatu mengekalkan kuasa sebagai parti pemerintah kerana ketua bahagian "ditinggalkan begitu saja" tanpa sebarang kelebihan.

Katanya, penggunaan sumber kerajaan penting untuk mengekalkan kemenangan dan Bersatu perlu menang "dengan apa cara sekalipun".

Ketika ditemui kemudian, Pengarah Strategi Bersatu Rais Hussin berkata itu hanyalah pandangan peribadi Rashid.

"Itu bukan pendirian Bersatu sama sekali. Bersatu menjaga integriti dan ini amat penting dan dekat dengan kita.

"Kami tidak mahu ulang apa yang berlaku ketika era (pentadbiran) parti lain. Maka apa yang dikatakannya adalah pandangan peribadi, tidak pernah dibincang dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi dan tidak disokong sesiapa," katanya lagi.

Rais juga menyokong pendirian pemuda Bersatu, menyifatkan amalan pemberian jawatan dan kontrak akan merosakkan kedudukan dan kewibawaan parti.

Lihat Komen
ADS