Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Sorotan 2018: Najib bekas PM pertama diheret ke mahkamah

Dua hari selepas Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad lantas menegaskan tindakan utama kerajaan baharu ialah membanteras habis-habisan amalan rasuah di negara ini.

Beliau berkata PH sedar bahawa rasuah terutamanya rasuah politik telah menjejas teruk proses demokrasi dan pembangunan hinggakan ada penjawat awam terikut-ikut turut bertindak membelakangi kepentingan rakyat.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) memperhebat tindakan dan berjaya membongkar sebilangan besar kes rasuah melibatkan “jerung” termasuk mereka daripada golongan berpengaruh dan pemimpin negara.

Polis turut bertindak. Mereka melakukan serbuan di sebuah kondominium milik bekas perdana menteri Najib Tun Razak di Pavilion Residences, Bukit Bintang, di Kuala Lumpur dan menemui wang tunai berjumlah lebih RM116 juta dan barangan mewah lain.

Turut dirampas 284 kotak dan 72 bagasi berisi pelbagai barangan berharga termasuk sejumlah besar wang tunai.

Masyarakat tersentak

Kesemua kotak dan bagasi berkenaan mengandungi wang tunai terdiri daripada mata wang Ringgit Malaysia dan Dolar Amerika Syarikat, beg tangan berjenama seperti Hermes dan Birkin, barang kemas, jam tangan mewah serta pelbagai barangan berharga lain.

Di samping itu, pemeriksaan dijalankan di enam premis iaitu Pejabat Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana selain tiga premis di Pavilion Residences dan satu lagi kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta.

Serbuan itu ada kaitan dengan siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan wang berbilion ringgit dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Masyarakat tersentak dengan berita penemuan barang-barang amat berharga itu.

Selepas serbuan besar-besaran itu, berlaku peristiwa menarik – kes penahanan Najib oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB di kediamannya di Jalan Langgak Duta, di Kuala Lumpur, pada 3 Julai. Penahanan beliau itu berhubung siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, sebuah anak syarikat 1MDB.

Sehari selepas itu, Najib didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta, di sini, berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi beliau daripada SRC International.

Najib menghadapi lebih 10 tuduhan melakukan pecah amanah berhubung kes SRC International di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Daripada kalangan enam bekas perdana menteri Malaysia, Najib merupakan yang pertama menghadapi dakwaan jenayah.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu.

Pada 3 Oktober, isteri bekas perdana menteri itu, Rosmah Mansor pula ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas diambil keterangan buat kali ketiga.

Kali pertama Rosmah hadir di SPRM pada 5 Jun bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Pada 15 November, Rosmah menghadapi dua tuduhan rasuah berjumlah RM5.5 juta berhubung projek bekalan dan pemasangan kuasa solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Bagaimanapun, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Dakwaan pinda laporan audit 1MDB

Pada 10 Disember, Najib ditahan lagi atas tuduhan meminda laporan audit 1MDB dan beliau dijangka menghadapi banyak lagi pertuduhan.

Sementara itu, pada 19 Oktober lepas, bekas timbalan perdana menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditahan SPRM berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

Turut didakwa pada hari yang sama, adalah bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang menghadapi tuduhan rasuah membabitkan penjualan tanah wilayah persekutuan.

Anggota parlimen Putrajaya itu menghadapi dua pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM3 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan kepadatan pembangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur pada tahun 2013.

Tengku Adnan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan dan membayar wang jaminan sejumlah RM1 juta dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya turut direman SPRM dari 25 Sept sehingga 5 Okt lepas bagi membantu siasatan kes rasuah.

Bagaimanapun, masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM500,000 dan dua penjamin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS