Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur Neon Countdown kena kompaun RM2,500

Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah mengeluarkan kompaun RM2,500 kepada penganjur program sambutan tahun baharu, Neon Countdown 2019, yang dibuat di Lukut dekat sini malam tadi.

Yang Dipertuanya, Mohd. Zamri Mohd. Esa berkata, penganjur yang beralamat di Subang itu dikenakan kompaun di bawah Seksyen 56(1) iaitu menganjurkan pesta tanpa permit yang sah dari MPPD.

Terdahulu, Mohd Zamri berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kelulusan bagi penganjuran program tersebut, yang mendapat bantahan daripada penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sebaliknya, MPPD hanya mengeluarkan surat sokongan bagi permohonan penganjur untuk mendapatkan permit bagi acara bunga api.

“Bagaimanapun berdasarkan aduan orang awam dan pemantauan, pelaksanaan program tersebut adalah berbeza daripada permohonan yang dikemukakan oleh pihak penganjur kepada MPPD.

“Terdapat keresahan dalam kalangan orang awam mengenai aktiviti yang diadakan seperti meminum arak, pergaulan bebas dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, lima pengunjung pesta berkenaan ditahan polis malam tadi selepas dipercayai memiliki dan mengambil dadah.

Ketua Polis daerah, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, suspek yang terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki itu bukan penduduk daerah ini sebaliknya datang untuk meraikan tahun baharu.

Suspek ditahan sebelum program iaitu pada pukul 7 malam selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya selepas membuat tinjauan program itu malam tadi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS