Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Prim pertikai mengapa polis tahan mangsa rogol
Diterbitkan:  Jan 17, 2006 7:12 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Terjemahan Seorang wanita warga India mendakwa dirogol beramai-ramnai oleh lima lelaki di Subang Jaya baru-baru ini tetapi sebaliknya mangsa dan suaminya ditahan selepas membuat aduan polis.

Insiden itu berlaku bulan lalu apabila sekumpulan lelaki menahan pasangan warga India itu setelah menuduh mereka mencuri barangan kemas. Pasangan itu ditahan di sebuah rumah dan suaminya telah dibelasah. Selepas itu wanita berusia 42 tahun itu dirogol di hadapan suaminya.

Sehari selepas kejadian itu pasangan berkenaan membuat laporan polis di Brickfileds.

Setiausaha penaja Parti Reformasi Insan Malaysia (Prim) P. Uthayakumar memberitahu malaysiakini, pihaknya diberitahu pasangan itu ditahan reman selama 10 hari atas kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

" Bagaimana ini boleh berlaku. Wanita itu adalah mangsa, bukannya penjenayah. Dia memerlukan kaunseling, bukannya disumbat di penjara," persoal peguam itu.

Menurutnya, pasangan itu ditahan di penjara Sungai Buloh tetapi hingga kini belum dapat dipastikan samaada mereka telah didakwa di atas kesalahan imigresyen atau tidak.

Mengulas lebih lanjut insiden tersebut, Uthayakumar berkata, keadilan hendaklah dilaksanakan dengan belas kasihan dan budi bicara.

" Tinggal melebihi tempoh di negara ini bukan isunya dalam kes ini. Isunya ialah kejadian rogol. Kalau begini sistem keadilan kita, lebih banyak mangsa lain akan mengalami nasib yang sama nanti,"katanya.

Sementara itu dalam satu dalam kenyataan berasingan, Prim menuntut beberapa langkah diambil bagi menangani kes ini;

Prim mahu tuduhan terhadap pasangan itu ditarik balik, lelaki yang melakukan rogol itu dicari dan ditangkap dan pasangan berkenaan dibenarkan tinggal sementara di negara ini serta diberikan bantuan kewangan dan kebajikan.

" Mangsa juga perlu diberikan kaunseling dan diletakkan di bawah seliaan seorang pegawai kebajikan," katanya.

Uthayakumar juga membidas pihak media, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan serta parti-parti pembangkang kerana mendiamkan diri berhubung kes ini.

" Apakah bezanya kes ini dengan insiden bogel dan ketuk ketampi yang dihebohkan tahun lalu itu," soal beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS