Malaysiakini
BERITA

'Silap saya, saya minta maaf'

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Jan 2019, 3:45 pagi

Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedia jadi “musuh nombor satu” sekiranya tindakannya menegur kerajaan tidak disenangi.

Katanya, kritikannya terhadap Pakatan Harapan (PH) sekarang tidak ada bezanya dengan teguran yang dibuat ketika zaman pemerintahan BN.

“Sesetengah mungkin tidak suka apa yang saya katakan tapi itulah cabarannya. Untuk terus bersuara demi rakyat yang tidak dapat menyuarakannya.

“Biarkan saya menjadi musuh anda nombor satu sekiranya perlu. Saya konsisten dan tegas dengan prinsip saya,” tulis baginda di Facebook, hari ini.

 Tunku Mahkota Johor berkata beliau buat demikian semata-mata kerana mahukan yang terbaik untuk rakyat.

“Saya benar-benar mahukan kerajaan untuk berjaya. Saya bangun setiap hari dengan harapan bahawa pendapat saya salah. Tetapi, mereka tetap membuktikan saya betul.

“Saya lakukan perkara yang sama dengan kerajaan lama. Dan saya sedang lakukan perkara yang sama pada masa ini. Tiada beza. Sekadar mahukan yang terbaik untuk rakyat.

Sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Tunku Ismail antaranya mengingatkan rakyat untuk tidak “menukar kapal” jika kapal tersebut berjalan dengan baik selama berpuluh tahun.

Selain itu, Tunku Ismail juga mengingatkan rakyat tidak mudah tertipu dengan “individu lidah bercabang” yang menurutnya bimbangkan masa depan anaknya dan bukan untuk menyelamatkan negara.

Melalui kenyataan terbaru hari ini, Tunku Ismail turut menggesa parti politik yang berhenti berperang antara satu sama lain dan mulai mentadbir negara dengan baik.

“Tolong... Tolonglah mulai mentadbir. Tolong berhenti berperang antara satu sama lain, Tolong berhenti mempolitikkan setiap isu. Kadang kala saya salah. Semua orang membuat kesilapan.

“Untuk kesilapan yang saya buat, saya memohon maaf. Saya fikir kita semua harus mengimbas kembali tahun 2018 dan meminta maaf atas kesilapan-kesilapan.

“Kini sudah 2019, ayuh kita lakukan yang sepatutnya sekarang. Ayuh kita kurangkan berpolitik. Ayuh kita kurang mempopularkan apa yang ada di media sosial. Ayuh kita melakukan keputusan yang lebih baik.

“Ayuh kita bekerjasama dan menghormati ruang dan tugas masing-masing. Ayuh kita berkhidmat kepada rakyat dan melaksanakan yang terbaik untuk negara kita,” titahnya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.